Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi Muhammad.

SHAH ALAM – Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi Muhammad mendakwa pencalonan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-11 oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih belum muktamad kerana perlu terlebih dahulu mendapat persetujuan Pas. 

“Pas parti terkuat dalam gabungan mereka. Tanpa restu Pas, sebarang keputusan mencalonkan Muhyiddin tidak boleh dimuktamadkan. Hakikat ini mesti diakui Bersatu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu ke-8 kecoh apabila laungan ‘Turun Tan Sri’ dan ‘Hidup Tan Sri’ bergema ketika Muhyiddin sedang menyampaikan ucapan dasarnya. 

Suasana panas itu memaksa sesi berkenaan ditangguhkan beberapa minit untuk menenangkan keadaan.

Namun nada berbeza kedengaran hari ini apabila sesi penggulungan menyaksikan seluruh kepimpinan dan perwakilan Bersatu sebulat suara mengekalkan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Presiden dan mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri ke-11.

Bagi Saifuddin, perubahan suasana drastik daripada kecoh semalam kepada sebulat suara hari ini tidak bermakna masalah dalaman parti telah selesai.

“Insiden semalam jelas menunjukkan Bersatu berpecah kepada beberapa fraksi. Hakikatnya parti itu sedang berdepan krisis identiti ada kumpulan pengasas asal, ada kumpulan baharu yang masuk kemudian.

“Muhyiddin perlu sangat berhati-hati terutama dengan kumpulan bukan asal Bersatu yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Sokongan itu nampak membantu tetapi hakikatnya akan membawa rebah,” ujarnya lagi.

Saifuddin turut mengingatkan Muhyiddin sendiri sedang memikul beban imej tercalar selepas kejadian semalam yang memalukan.

“Bersatu memilih untuk mengekalkan Muhyiddin sebagai presiden walaupun imej beliau tercalar dan dimalukan di depan ahli sendiri. Itu satu keputusan berani tetapi penuh risiko,” tegas beliau lagi.

Saifuddin pada masa sama menegur sikap segelintir pimpinan muda Bersatu yang menurutnya bercakap tidak konsisten termasuk Ketua Armada, Muhammad Hilman Idham.

“Hilman begitu galak mahu ‘mansuhkan’ Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Putrajaya dalam bicara beliau tentang Akta Hasutan tapi hakikatnya hari ini pekung parti sendiri pun terbuka. Inilah bukti senang mencari kelemahan orang lain tetapi menutup mata atas kelemahan sendiri,” katanya.

Saifuddin menegaskan episod PAT Bersatu 2025 harus dilihat sebagai cermin kepada keadaan sebenar parti itu iaitu rapuh, berpecah dan bergantung penuh kepada restu rakan gabungan untuk bertahan.

“Semalam ahli sendiri melaungkan ‘Turun Tan Sri’, hari ini laungan beralih kepada ‘Hidup Tan Sri’. Perubahan sekelip mata ini menunjukkan sokongan dalaman tidak konsisten.

“Bersatu mungkin mahu menggambarkan imej kukuh tetapi realiti yang terpampang ialah perpecahan yang semakin ketara,” tambahnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bersatu calonkan Muhyiddin PM ke-11

 

Kecoh! Perwakilan Berteriak Sebaik Muhyiddin Dedah Gerakan Jatuhkan Beliau Sebagai Presiden Bersatu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast