SHAH ALAM – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin merayu kepada ahli-ahli parti itu supaya tidak melihat beliau sebagai kumpulan pengkhianat kepada presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kata Hamzah, beliau bukan pengkhianat tetapi merupakan penyokong nombor satu kepada Muhyiddin.
Tambahnya, beliau juga mahu menjadi seorang sahabat, seorang adik serta individu yang duduk di sebelah Muhyiddin sebagai orang kanan Presiden Bersatu.
“Sudah-sudahlah…saya mahu maklumkan kepada semua, saya merupakan penyokong nombor satu kepada Presiden.
“Apa sahaja diarah kepada saya sama ada dulu ketika saya sebagai Setiausaha Agung atau sekarang sebagai Timbalan Presiden, saya lakukan sebagai orang kanan presiden.
“Jangan ingat boleh cucuk-mencucuk, masalah kita kerana ada orang yang belum tahu apa-apa terus cucuk. Ini bukan budaya kita, budaya kita adalah untuk mengangkat martabat parti,” katanya pada ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 di sini hari ini.
Terdahulu, PAT Bersatu 2025 berlangsung dalam situasi dibayangi dengan kewujudan surat layang yang mendesak Muhyiddin meletak jawatan sebagai presiden serta spekulasi pertembungungan kem pempimpin berbeza termasuk penyokong Muhyiddin dan Hamzah.
Desas-desus itu diperkuatkan lagi dengan insiden kekecohan dan pergelutan dalam sekumpulan kecil perwakilan malam tadi ketika Muhyiddin sedang menyampaikan ucapan dasar yang menyentuh mengenai kewujudan surat layang.
Sementara itu, Hamzah berkata, Muhyiddin dan parti itu ketika ini memerlukan sokongan daripada semua kepimpinan dan ahli-ahli Bersatu bukan hanya sokongan daripada segelintir pemimpin tertentu.
Sehubungan itu, beliau menggesa akar umbi Bersatu tidak melihat atau menyatakan sokongan kepada pemimpin tertentu sebaliknya kepada semua barisan kepimpian Bersatu yang ada hari ini. – MalaysiaGazette
















