SHAH ALAM – Tiada mana-mana pihak yang mengalami kecederaan mahupun kerosakan harta benda dalam insiden kekecohan yang timbul semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan insiden itu berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang ketua keselamatan Bersatu, kira-kira 12.18 tengah malam.
“Pengadu atau mana-mana pihak tidak mengalami apa-apa kecederaan dan tiada kerosakan harta benda dilaporkan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, insiden pergelutan dan tolak-menolak tercetus semasa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan dasar pada PAT Bersatu ke-8 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini malam semalam.
Menurut Iqbal, dalam laporan itu, pengadu memaklumkan dia melihat dua lelaki Melayu yang juga merupakan ahli Bersatu bangun dan menjerit mengganggu ucapan Muhyiddin.
“Pengadu kemudian pergi ke arah salah seorang lelaki itu bagi menenangkannya namun pengadu telah ditarik dari belakang sehingga jatuh dan berlaku kekecohan di dalam dewan.
“Kejadian itu berjaya dikawal dengan baik oleh beberapa ahli Bersatu lain dengan membawa keluar kedua-dua lelaki itu dari dewan dan perhimpunan berjalan seperti biasa,” katanya.
Susulan kejadian itu, Iqbal berkata pihaknya membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu gaduh gempar.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara enam bulan atau denda hingga RM1,000 dan kes turut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil iaitu kelakuan aib yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,” katanya.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Asisten Superintenden Mohd Afandi Ahmad di talian 016-7252948. – MalaysiaGazette
















