KUALA LUMPUR – Penyanyi, Zizi Kirana meluahkan rasa kecewa apabila terdapat segelintir pihak yang mempertikaikan penglibatan selebriti ketika ini dalam misi bantuan kemanusiaan di Gaza.
Zizi atau Nur Fazelah Mad Tahil, 40, terkilan dengan pandangan negatif netizen dan menjelaskan, misi tersebut adalah untuk memberikan bantuan kepada saudara Islam di Gaza.
“Sedikit kecewa dengan pemikiran orang-orang yang tak habis dengan pertikaian.
“Pertikai kenapa artis pergi misi, belum lagi ada yang pertikai hukum wanita pergi misi. Dah terang-terang mufti bagi jawapan tak nak dengar.
“Alangkah lebih baik kita sama-sama fokus dengan misi kita nak bantu Gaza,” katanya.
Zizi berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya di sini hari ini.
Pada 31 Ogos lalu, Zizi menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza Bersama beberapa aktivis dari Malaysia sebelum berlayar melalui Laut Mediterranean dengan puluhan kapal yang turut disertai oleh 44 negara terlibat.
Selain Zizi, selebriti lain terlibat adalah Ardell Aryana antara yang menggalas amanah besar apabila menyertai Misi Global Sumud Flotilla iaitu suatu usaha bersejarah menghimpunkan rakyat dunia bagi memecahkan sekatan haram rejim Israel terhadap Gaza.
Kata Zizi, dia bersedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk kematian sekiranya ditakdirkan tidak kembali ke tanah air selepas misi tersebut.

Tiga hari lalu, Ardell Aryana turut memaklumkan Misi Global Sumud Flotilla ke Palestin berdepan detik mencemaskan apabila kapal dinaiki mereka dikesan dihampiri dron pengintip.
Menurut Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, insiden itu berlaku sekitar pukul 10.26 malam memaksa mereka bergegas keluar ke bahagian dek selepas menerima arahan kapten kapal.
Rakaman itu turut dimuat naik oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cinta Salam Malaysia di Instagram miliknya.
Mengulas lanjut, Zizi memberitahu, sebelum ini dia memilih untuk tidak mahu melayan kritikan tersebut namun kini terpaksa tampil bersuara bagi menjelaskan keadaan sebenar.
Penyanyi lagu Eh itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dan memohon doa agar urusan mereka sepanjang menjalankan misi bantuan itu berjalan lancar.
“Sebelum ini memang malas nak layan orang-orang yang pertikaikan keberadaan kami (artis) tapi untuk memanjangkan perkara ini Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Salam Malaysia Musanuwayri terpaksa jelaskan perkara ini.
“Kepada yang mendoakan dan sentiasa menyokong, terima kasih sangat. Semoga Allah balas segala kebaikan yang ada di dunia dan akhirat buat kalian. Teruskan berdoa dan sokong kami, itu sahaja,” ujarnya. – MalaysiaGazette















