Bekas Pengarah Syarikat Golden Broad Base Holdings Sdn Bhd, Datuk Yap Wee Leong, 68, hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 8 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Bekas pengarah syarikat kontraktor pembinaan, Datuk Yap Wee Leong, 68, mengaku tidak bersalah atas 17 pertuduhan menggunakan dokumen palsu membabitkan tuntutan projek lebuh raya bernilai keseluruhan RM314.48 juta.

Beliau membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Yap didakwa menggunakan 17 dokumen progress claim palsu antara Jun 2017 hingga April 2018 di pejabat Maju Holdings Sdn. Bhd., Maju Tower, Jalan Sultan Ismail.

Dokumen berkenaan melibatkan tuntutan kerja tanah, saliran, cerun dan pembinaan subgred bagi projek Lebuhraya Putrajaya ke KLIA (MEX II), dengan nilai antara RM9 juta hingga RM28 juta setiap satu menjadikan jumlah keseluruhan lebih RM314 juta.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 iaitu penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib.

Manakala tertuduh diwakili peguambela, Abdul Hakeem Aiman.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 November akan datang. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Isteri Pengarah Maju Holdings mengaku tak bersalah terima wang haram lebih RM67 juta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast