Isteri kepada Pengarah Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Sdn. Bhd, Puan Seri Noor Azrina Mohd. Azmi hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 8 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Isteri kepada pengarah sebuah syarikat pembinaan lebuh raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih RM67 juta yang didakwa dilakukan lapan tahun lalu.

Puan Seri Noor Azrina Mohd. Azmi, 48, isteri kepada Pengarah Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Abu Sahid Mohamed membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Noor Azrina didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM67,136,588.43 menerusi akaun bank miliknya yang dipindahkan dari akaun bank milik Abu Sahid.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 6 Mac 2017 hingga 27 November 2017 di CIMB Bank Berhad, cawangan Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib mencadangkan jaminan sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Cadangan itu tidak dibantah peguambela, Abdul Hakeem Aiman yang mewakili Noor Azrina dengan alasan jumlah tersebut munasabah serta wajar dipertimbangkan.

“Pihak pembelaan bersetuju dengan jumlah tersebut kerana ia bersifat adil dan cukup untuk memastikan kehadiran tertuduh bagi prosiding seterusnya.

“Tertuduh juga telah memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan berserta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

Hakim menetapkan 3 November ini untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM32 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri susulan siasatan berkaitan penyelewengan dana pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Antara barangan yang disita termasuk tas tangan berjenama, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan dan wang tunai selepas Bahagian Siasatan SPRM menggeledah dua kediaman milik individu itu di ibu negara pada Mei lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Abu Sahid mengaku tidak bersalah dakwaan pecah amanah, pengubahan wang haram RM452 juta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast