KUALA LUMPUR -Siapa yang tidak mengenali Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, insan yang namanya terpatri dalam sejarah seni tanah air sebagai pelakon, pengarah, penyanyi dan pencipta lagu yang hebat.
Malah karya-karya agungnya masih ‘hidup’ sehingga kini meskipun beliau sudah lebih setengah abad meninggalkan dunia ini.
Hari ini, baton seni itu dipegang oleh cicitnya sendiri, Ghazia Gurnawan, anak muda yang baru sahaja menggenggam Diploma Seni Muzik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Dilahirkan dalam keluarga seni dengan bakat semulajadi daripada seorang seniman ulung bukanlah tiket percuma untuk Ghazia melangkah ke dunia muzik dengan mudah.
Ghazia yang merupakan cucu kepada Nasir P. Ramlee mengakui, beliau masuk ke gelanggang tanpa sebarang persediaan awal.
Bermula daripada sifar, beliau menempuh cabaran memahami bahasa muzik yang asing pada dirinya, bagaimana angka bertukar menjadi simbol kuaver, krocet dan minim.
Walaupun sukar, ketekunan dan semangatnya membolehkan Ghazia menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang.
Menurut gadis manis ini, cabaran yang ditempuh menjadi titik tolak untuknya terus mara.
Ghazia kini menyimpan cita-cita besar untuk menjejak kaki lebih jauh, bukan sahaja dalam bidang muzik tetapi juga filem dan penulisan skrip.
Tambahnya, minat terhadap seni yang pelbagai membuktikan darah seni keluarga P. Ramlee terus segar.
Di sebalik langkahnya yang semakin mantap, Ghazia tidak pernah menafikan doa dan dorongan ibu bapanya yang sentiasa memberi kebebasan untuk beliau membuat pilihan.
Menurut Ghazia, fokusnya kini adalah untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, terutama apabila beliau diterima menyambung pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Muzik Perniagaan di UiTM.
“Alhamdulillah, saya berjaya menempatkan diri. Insya-Allah selepas ini saya akan sambung belajar,” katanya penuh semangat.
Ghazia membuktikan, legasi seniman agung itu tidak pernah padam. -MalaysiaGazette
















