Amir Hamzah Azizan
KUALA LUMPUR – Setakat 31 Julai 2025, sebanyak 38.3% atau 2.85 juta daripada 7.44 juta ahli aktif formal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 18 hingga 55 tahun telah
mencapai tahap Simpanan Asas mengikut umur berbanding 30.4% pada Disember 2022 setelah impak pengeluaran-pengeluaran berkaitan Covid-19.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, daripada jumlah itu, kaum bumiputera mencatatkan seramai 1.38 juta orang, Cina (1.22 juta), India (214,000) dan kaum lain-lain (38,000).
Menurutnya, pertambahan tahap simpanan asas yang tinggi dalam kalangan ahli aktif formal lebih mencerminkan situasi sebenar kerana mereka merupakan sebahagian daripada tenaga kerja formal yang sedang bekerja dan mencarum.
Beliau menjelaskan, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada tahap simpanan ahli KWSP yang rendah, khususnya dalam kalangan ahli bumiputera, adalah kesan daripada beberapa siri pengeluaran khas yang dilaksanakan ketika krisis kesihatan dan ekonomi semasa pandemik Covid-19 dahulu.
“Walaupun langkah tersebut dapat membantu meringankan beban kewangan ahli pada waktu tersebut, ia telah menjejaskan kedudukan simpanan persaraan yang kini masih dalam proses untuk dibina semula,” katanya ketika menjawab soalan daripada Mohd Hasbie Muda pada sidang Dewan Negara hari ini.
Hasbie bertanya berapakah jumlah pencarum skim KWSP berdasarkan kaum yang berusia melebihi 55 tahun pada tahun ini dan mempunyai simpanan yang mencukupi bagi menghadapi usia pencen mereka.
Menurut beliau, pada masa kini, tumpuan akan diberikan kepada usaha membina semula simpanan persaraan dan memastikan ahli menikmati pendapatan persaraan yang mampan.
Oleh itu tumpuan pada masa kini, akan diberikan kepada usaha membina semula simpanan persaraan dan memastikan ahli menikmati pendapatan persaraan yang mampan.
Amir Hamzah berkata, ahli KWSP yang telah mencapai umur 55 tahun boleh memilih untuk mengeluarkan dana persaraan mereka sama ada secara sebahagian, berkala atau pengeluaran penuh.
Namun, baki simpanan persaraan ahli KWSP yang telah mencapai umur 55 tahun adalah tidak sesuai dijadikan ukuran sebagai mencukupi untuk tujuan persaraan.
Sebaliknya, pengukuran yang lebih sesuai bagi tahap kecukupan simpanan ahli KWSP adalah pencapaian simpanan asas mengikut umur pada fasa
pengumpulan iaitu sebelum ahli boleh membuat pengeluaran bagi tujuan persaraan apabila mencapai umur 55 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast