Suspek diiringi pegawai penyiasat kes Sarjan Syuhaikha Hamid tiba di Mahkamah Butterworth bagi mendapatkan perintah reman hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang pengawal keselamatan direman empat hari selepas bertindak kejam menyerang ibunya yang baru pulang menghadiri kelas agama dalam kejadian di sebuah flat di Mak Mandin di sini semalam.

Perintah reman terhadap suspek berusia 47 tahun itu dikeluarkan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Terdahulu suspek yang memakai baju lokap ungu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 11.20 pagi dengan diiringi anggota polis.

Difahamkan dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari semalam, mangsa berusia 72 tahun itu dikatakan baru sahaja pulang ke kediaman mereka selepas mengikuti kelas agama di masjid berhampiran.

Suspek ditahan di kediaman mereka sejurus kejadian.

 

Namun sebaik masuk ke dalam rumah, suspek yang juga anak kedua mangsa tiba-tiba menghalau ibunya keluar sebelum menyerang warga emas itu.

Lebih menyayat hati, lelaki bujang itu turut mencungkil mata ibunya sebelum menyerang mangsa menggunakan objek tajam hingga menyebabkan kecederaan pada anggota badan.

Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan jiran sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan dan difahamkan wanita itu terpaksa menerima jahitan pada bahagian muka.

Susulan itu, bertindak atas maklumat, polis menahan suspek di kediaman sama selain  mendapati dia positif dadah serta baru sahaja dibebaskan daripada pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada 2 September lalu.

Difahamkan, suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik itu juga sering mengamuk sejak pulang dari AADK. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast