SINTOK – Senyuman bangga terukir pada wajah Jess Chua Si Rou apabila buat pertama kalinya beliau berjaya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan lancar tanpa rasa gentar.
“Saya belajar bagaimana hendak berkomunikasi dengan rakan-rakan di samping mempelajari perkataan dan frasa baharu yang berkait dengan aktiviti seharian,” ujar pelajar Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah yang berkongsi pengalaman berharga daripada Matriculation English Immersion Programme (MEIP) 2025 anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM).
Bagi Jess, MEIP bukan sekadar program pembelajaran bahasa, tetapi satu ruang untuk membina keyakinan diri. “Saya berasa sangat teruja datang ke program ini. Selain bertemu rakan-rakan baru, melakukan aktiviti dan menyiapkan tugasan bersama, kami juga belajar berkomunikasi dengan lebih tepat,” tambahnya.
Program tiga hari yang berlangsung dari 4 hingga 6 September itu dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar
(SELECT), Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM, dengan penyertaan kira-kira 70 pelajar dari Kolej Matrikulasi Kedah dan Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah.
Bagi mendekatkan lagi dengan dunia pelajar, MEIP 2025 dibimbing oleh 13 fasilitator mahasiswa UUM bersama seorang guru bahasa Inggeris dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) UUM, Shahrul Niza Said. Kehadiran fasilitator mahasiswa menjadikan suasana pembelajaran lebih santai, mesra dan interaktif.
Sepanjang tiga hari berkampung di UUM, peserta terlibat dengan pelbagai aktiviti seperti language games, simulasi komunikasi harian dan kerja berkumpulan. Suasana dewan sering dipenuhi gelak tawa, namun setiap aktiviti tetap memberi kesan mendalam — membolehkan pelajar mencuba, berinteraksi dan berkomunikasi tanpa rasa takut melakukan kesilapan.
“Menerusi program ini, kami dapat mengeratkan lagi hubungan serta bertemu rakan baharu, selain mempelajari perkataan dan istilah baharu,” kata seorang lagi peserta, Sacktydharan Murulikrishnan, sambil berharap MEIP diteruskan dengan pengisian lebih menarik pada masa akan datang.
Seorang fasilitator, Raudhatul Husna Ahmad Sabri, yang juga Pengarah program, menjelaskan bahawa MEIP 2025 bertujuan mengubah persepsi pelajar terhadap bahasa Inggeris.
“Kami mahu pelajar melihat bahasa Inggeris bukan sebagai beban, tetapi sebagai jambatan keyakinan diri untuk berani bercakap, bergaul dan mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.
Tambahnya lagi, matlamat utama program adalah menjadikan pembelajaran bahasa Inggeris lebih menyeronokkan, sekali gus memberi keyakinan kepada pelajar untuk berkomunikasi, menambah perbendaharaan kata dan meningkatkan kemahiran pengucapan awam.
MEIP 2025 membuktikan bahawa bahasa Inggeris bukan sekadar subjek peperiksaan, tetapi sebuah pengalaman yang mampu mengubah
keyakinan diri pelajar — daripada rasa takut kepada keberanian berdiri dan bercakap dengan yakin.
Majlis penutup MEIP 2025 telah disempurnakan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM, Prof. Madya Dr. Zainudin Omar, bertempat di Dewan Serbaguna Pusat Penginapan Pelajar (SAC), UUM. – MAlaysiaGazette
















