Ab Rahaman menunjukkan dadah yang dirampas selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini,

JOHOR BAHRU – Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah dan merampas dadah bernilai RM2.57 juta selepas serbuan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi itu dilakukan pukul 10.30 malam pada 2 September hingga 4 pagi, 3 September lalu.

“Menerusi serbuan di kawasan perumahan berpagar dan berpengawal yang menjadi stor penyimpanan dadah itu menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang wanita warga Indonesia berusia 34 hingga 43 tahun.

“Kita turut merampas sejumlah dadah. Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak April 2024 dan dipercayai menjadikan rumah teres tersebut sebagai stor transit dadah sebelum diedarkan ke pasaran luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Katanya, hasil saringan air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala semakan rekod pula mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah.

Hasil serbuan tersebut juga, polis merampas dadah dengan anggaran berat sekitar 80,330 gram syabu iaitu 76 bungkusan bernilai RM2,570,560 dan sekiranya terlepas ke pasaran boleh digunakan seramai 401,650 penagih.

Polis turut menyita enam kenderaan melibatkan sebuah pacuan empat roda, dua kereta, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan dua motosikal.

Jelasnya, ia termasuk wang tunai rupiah dan pelbagai jenis barang kemas dengan jumlah sitaan RM410,104, keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan RM2,980,664.93.

Ab Rahaman memberitahu, semua suspek direman sehingga 9 September ini untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 jika sabit kesalahan.

“Siasatan juga mendapati lelaki warga tempatan mempunyai sembilan rekod jenayah dan wanita warga tempatan pula mempunyai enam rekod sementara wanita warga Indonesia tidak memiliki rekod jenayah,” tambahnya.

Siasatan katanya, akan diteruskan dan tidak menolak akan ada tangkapan suspek lagi pada masa hadapan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast