JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memecat Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati daripada jawatannya dan sekali gus mengumumkan pelantikan Pengerusi Perbadanan Insurans Deposit, Purbaya Yudhi Sadewa sebagai Menteri Kewangan yang baharu.
Majlis mengangkat sumpah berlangsung di Istana Merdeka, Jakarta, petang tadi.
Sri Mulyani yang mengetuai Kementerian Kewangan Indonesia hampir 14 daripada 20 tahun lalu, menjadi simbol kredibiliti fiskal kepada tiga presiden, serta diiktiraf luas kerana membantu negara memperoleh penarafan kredit gred pelaburan.
Bekas eksekutif Bank Dunia itu pertama kali dilantik oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 2005, dan sekali lagi oleh Presiden Joko Widodo pada 2016. Pada Oktober lalu, Prabowo mengekalkan beliau di jawatan tersebut.
Tindakan ini menamatkan spekulasi pasaran kewangan selepas beberapa hari kediaman Sri Mulyani dijarah perusuh ketika kemuncak protes hujung bulan lalu.
Ratusan demonstrasi berlangsung di 35 provinsi, menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang terkorban dan beberapa bangunan kerajaan serta kemudahan awam dibakar.
Selain Sri Mulyani, Prabowo turut memecat Menteri Koordinator Politik dan Keamanan, Budi Gunawan; Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Abdul Kadir Karding; Menteri Koperasi, Budi Arie Setiadi; dan Menteri Pemuda dan Olahraga, Dito Ariotedjo.
“Bapak Presiden memutuskan untuk melakukan perubahan susunan Kabinet Merah Putih pada beberapa jabatan kementerian,” kata Menteri Sekretaris Negara Prasetyo Hadi, hari ini.
Pengumuman itu dibuat setelah lebih seminggu negara berkenaan dibadai demonstrasi jalanan hingga mengorbankan 10 mangsa, 1000 lagi cedera dan perlu dirawat di hospital.
Selain itu, Prabowo turut mengumumkan pelantikan Menteri Haji dengan menubuhkan Kementerian Haji susulan pembongkaran skandal kuota haji, baru-baru ini. -AGENSI
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















