Kedudukan strategik UMT berhampiran Laut China Selatan, Tasik Kenyir, Setiu Wetland dan gugusan pulau tropika menjadikannya hub yang istimewa.

KUALA LUMPUR – Konsep edu-tourism atau pelancongan berasaskan pendidikan semakin mendapat perhatian di seluruh dunia seiring dengan perubahan trend pelancongan moden.

Semakin ramai pelancong kini memilih destinasi yang bukan sekadar indah untuk dilawati, tetapi turut memberi nilai tambah dalam bentuk ilmu, pengalaman autentik dan kesedaran tentang isu alam sekitar.

Di Pantai Timur, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai institusi paling berpotensi mempelopori segmen ini.

Dengan kepakaran dalam bidang kelautan, biodiversiti, sains maritim dan perikanan, UMT memiliki kekuatan unik yang
menjadikannya sesuai untuk menjadi pusat rujukan edu-tourism, sekali gus memberi dimensi baharu kepada sektor pelancongan negeri Terengganu.

Edu-tourism bukanlah fenomena baharu di peringkat global. Di banyak negara maju, aktiviti seperti lawatan ke tapak arkeologi, pusat penyelidikan marin dan ekspedisi biodiversiti sudah lama menjadi tarikan utama. Malaysia dengan kekayaan alam semula jadi serta kepelbagaian budaya sebenarnya mempunyai potensi besar untuk mengangkat edu-tourism sebagai salah satu daya tarikan utama.

Bagi Pantai Timur, kelebihan ini semakin menyerlah dengan wujudnya UMT yang bukan sahaja berperanan sebagai universiti, tetapi juga pusat penyelidikan dan khazanah ilmu.

Kedudukan strategik UMT berhampiran Laut China Selatan, Tasik Kenyir, Setiu Wetland dan gugusan pulau tropika menjadikannya hub yang istimewa.

Tasik Kenyir misalnya kaya dengan flora dan fauna air tawar, sesuai untuk ekspedisi lapangan dan aktiviti kesedaran biodiversiti. Setiu Wetland pula menjadi habitat penting bagi ekosistem paya bakau yang kritikal kepada keseimbangan ekologi.

Pulau-pulau di Terengganu menawarkan pengalaman unik untuk memahami kepelbagaian marin, habitat penyu dan kepentingan pemuliharaan terumbu karang. Di dalam kampus pula, UMT menempatkan makmal marin, simulator kapal, hatchery akuakultur dan galeri warisan digital yang membuka ruang untuk orang ramai melihat sendiri peranan ilmu dalam kehidupan seharian.

Sejak menandatangani Memorandum Kerjasama dengan Tourism Malaysia pada 17 November 2021, UMT telah membuktikan keupayaannya memperkasakan edu-tourism melalui inisiatif penyelidikan bersama dan pembelajaran berasaskan komuniti.

Antara program yang dilaksanakan termasuk Turtle Lab, SEATRU Volunteer, Bengkel Coral Restoration serta aktiviti DiveHeart Adaptive Diver Hero.

Program-program ini dijalankan di stesen penyelidikan UMT di Pulau Bidong, Chagar Hutang, Tasik Kenyir dan Setiu Wetland. Semua inisiatif ini memperkukuh pendekatan ilmiah dan praktikal dalam penyampaian edu-tourism, menjadikan UMT institusi yang benar-benar komited merealisasikan agenda ini.

Kekuatan aset-aset dan pengalaman ini membolehkan edu-tourism berkembang sebagai segmen pelancongan yang berbeza dengan pelancongan massa. Ia bukan sahaja menghiburkan, tetapi mendidik dan meningkatkan kesedaran. Melalui pengalaman ini, masyarakat dapat memahami nilai sebenar khazanah alam, pelajar dapat berinteraksi dengan komuniti dan pelancong pula membawa pulang ilmu serta penghargaan lebih mendalam terhadap destinasi yang dilawati.

Selain memberi pengalaman unik kepada pelancong, edu-tourism turut menyumbang manfaat kepada komuniti tempatan. Penduduk setempat boleh terlibat sebagai pemandu pelancong, pengusaha penginapan, penyedia makanan tradisional dan pelbagai aktiviti sokongan lain. Secara tidak langsung, ia membuka peluang ekonomi baharu yang selaras dengan prinsip pelancongan lestari.

Pada masa sama, edu-tourism dapat menarik pelancong berkualiti yang lebih menghargai ilmu berbanding
hiburan semata-mata, sekali gus menyokong usaha Malaysia memposisikan diri sebagai destinasi pelancongan bertanggungjawab di peringkat antarabangsa.

UMT berada pada kedudukan yang kukuh untuk menerajui pembangunan edu-tourism ini. Dengan reputasi sebagai pusat kecemerlangan ilmu maritim dan biodiversiti, universiti ini mampu memastikan konsep edu-tourism dibangunkan secara ilmiah, lestari dan berteraskan nilai pendidikan. Pendekatan ini menjadikan edu-tourism lebih daripada sekadar tarikan pelancongan, tetapi juga sebuah wadah untuk membentuk masyarakat yang celik ilmu, peka terhadap isu alam sekitar dan menyumbang kepada
pembangunan negara.

Masa depan edu-tourism di Pantai Timur dilihat cerah dengan adanya asas kukuh yang dibina oleh UMT. Apa yang diperlukan kini adalah kesedaran bersama bahawa pelancongan boleh menjadi platform pendidikan dan pemuliharaan, bukan hanya hiburan semata-mata. Jika digerakkan secara bersepadu, edu-tourism berpotensi besar untuk membawa transformasi, bukan sahaja kepada sektor pelancongan, tetapi juga kepada pembangunan sosial dan imej Malaysia di persada antarabangsa.

 

Mohd Ruhaifi Alias
Timbalan Pengarah
Pusat Ihsan UMT
Universiti Malaysia Terengganu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast