Gambar hiasan

BATU PAHAT – Seorang wanita kerugian RM571,242 selepas tertarik dengan iklan pelaburan dalam Facebook yang menawarkan kadar pulangan keuntungan yang tinggi.

Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerima satu laporan  daripada mangsa iaitu seorang wanita warga tempatan berumur 55 tahun.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, semuanya bermula pada 16 Mac 2024 selepas berminat dengan pelaburan tersebut.

“Mangsa kemudiannya telah berurusan dengan suspek iaitu individu yang tidak dikenali melalui aplikasi Whatsapp dan menawarkan mangsa untuk menyertai pelaburan tersebut dengan menjanjikan pulangan keuntungan yang tinggi.

“Antara tempoh 10 hingga 31 Julai lalu mangsa telah memasukkan wang ke dalam tiga akaun bank yang berbeza secara berperingkat-peringkat berjumlah RM571,242,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, selepas melihat keuntungan yang diterima dalam aplikasi pelaburan berkenaan sebanyak RM804,000, mangsa ingin mengeluarkan wang tersebut.

Bagaimanapun katanya, mangsa tidak dapat mengeluarkan wang tersebut disebabkan akaun telah disekat.

“Mangsa sedar telah ditipu dan tidak mendapat pulangan wang sepertimana yang telah dijanjikan. Jumlah keseluruhan kerugian mangsa adalah RM571,242,” ujarnya.

Menurut beliau, polis menjalankan siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan,” katanya.

Orang ramai juga katanya, boleh layari laman sosial Facebook @jsjkpdrm dan @cybercrimealertrmp bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan jenayah komersil.

Selain itu orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 seberapa segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast