KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,077 notis advokasi dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sepanjang pelaksanaan Kempen Advokasi Operasi Patuh Undang-Undang (OP PUU) yang bermula sejak 6 September lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kempen tersebut dilaksanakan sebagai usaha mendidik pengguna jalan raya mengenai kepentingan mematuhi undang-undang trafik sebelum penguatkuasaan sebenar OP PUU dijalankan.
“Dalam tempoh dua hari, sebanyak 2,077 notis advokasi telah dikeluarkan bersama 24 notis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan 126 notis Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Selain itu, empat buah kenderaan dikenakan tindakan tunda manakala 2,784 buah kenderaan telah diperiksa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, satu lagi kempen advokasi iaitu OP Didik yang menyasarkan pelajar sekolah rendah dan menengah turut dijalankan bagi meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan jalan raya.
“Sebanyak 18 notis advokasi dikeluarkan dengan 18 orang pelajar diperiksa dalam operasi ini,” tambahnya.
Kempen berkenaan akan diteruskan sehingga tempoh yang ditetapkan sebelum tindakan saman dikuatkuasakan sepenuhnya.
Pihaknya juga turut menerima kerjasama yang baik daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang kempen berlangsung. – MalaysiaGazette
















