Sesi temu bual bersama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Ni Ching pada Program PODCAST MG di Studio MalaysiaGazette, Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto AIZAT ZAINAL, 5 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mendedahkan beliau juga hampir menjadi mangsa panggilan scammer.

Berkongsi pengalamannya, Nie Ching berkata, kejadian itu berlaku semasa dia menerima panggilan nombor tempatan yang memperkenalkan diri sebagai pegawai insurans meminta beliau memperbaharui insurans.

“Pada mulanya, memang saya tak tahu itu scammer kerana nombor telefon yang tertera seperti genuine (tulen) menggunakan nombor tempatan.

“Tetapi, apabila scammer tersebut menyebut nama insurans yang perlu saya perbaharui, saya tahu ini mereka menggunakan spoofing call (penyamaran panggilan). Itu taktik yang memalsukan maklumat pada skrin telefon, jadi kita nampak nombor telefon tu macam sebenar,” katanya.

Beliau berkongsi kisah tersebut ketika menjadi panel program Podcast MG yang dikendalikan Haslina AR Kamaludin.

Sesi temu bual bersama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Ni Ching pada Program PODCAST MG di Studio MalaysiaGazette, Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto AIZAT ZAINAL, 5 SEPTEMBER 2025.

 

Jelas Nie Ching lagi, taktik spoofing call ini akan mengaburi mangsa kerana di skrin akan terpapar nombor panggilan yang kita percaya iaitu nombor tempatan.

“Tak kisahlah nombor tu 010 ke 017 atau apa sahaja nombor awalnya.

“Saya percaya ramai yang tidak ragu-ragu untuk menjawabnya mungkin sahaja yang telefon itu adik beradik atau kawan-kawan,kan,” katanya lagi.

Jelas Nie Ching, sepanjang perbualan beliau hanya membiarkan scammer bercakap dan ada sesekali bertanyakan soalan seolah-olah berminat dengan tawaran yang disebut.

“Mula-mula saya ok sahaja, tapi terkejut apabila scammer tu sebut empat digit nombor MyKad saya.

“Masa tu rasa risau pun ada, tapi saya kekal tenang nak tahu apa scammer tu nak cakap lagi. Sedar tak sedar, 26 minit juga dia cuba perdaya saya. Daripada perbualan itu juga saya cuba memahami taktik serta modus operandi mereka,” ceritanya lagi.

Dalam pada itu, Nie Ching mengakui dengan teknologi Voice Over Internet Protocol (VOIP) yang digunakan scammer agak sukar untuk dikesan.

“VOIP ini menggunakan internet, bukan panggilan biasa. Kerana itu mereka boleh gunakan spoofing call seperti saya katakan tadi.

“Apa yang boleh dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekarang ini adalah menyekat nombor-nombor panggilan yang meragukan,” katanya.

Nie Ching berkata, menerusi dapatan MCMC, sebanyak 281 juta panggilan yang meragukan telah disekat pada tahun 2024.

“Untuk tahun ini, sehingga 31 Ogos sahaja, sebanyak 706 juta panggilan meragukan ini telah disekat.

“Bagi khidmat pesnan ringkas (SMS) pula, pada tahun 2024, 121 juta SMS telah disekat dan setakat tahun ini jumlahnya sudah mencapai 155 juta,” ujarnya.

Tindakan sekatan ini menunjukkan komitmen Kementerian Komunikasi memerangi jenayah siber.

Nie Ching turut mengingatkan agar orang ramai lebih celik digital agar tidak menjadi mangsa scammer.

Selain scammer panggilan ini, ada juga yang mendapat maklumat palsu di SMS atau media sosial yang lain.

“Apa sahaja maklumat yang diperoleh, jangan terus dikongsi sebaiknya semaklah dahulu kesahihannya.

“Gunakan saluran yang disediakan seperti chatbot AI dengan nama AIFA. Ini adalah kaedah yang dibangunkan oleh MCMC untuk memerangi penipuan.

“Chatbot AI MCMC ini berfungsi sebagai saluran komunikasi automatik yang direka memberikan maklumat dengan menjawab soalan lazim daripada orang ramai mengenai isu-isu berkaitan komunikasi dan multimedia, termasuk cara mengenali dan melaporkan aktiviti penipuan,” jelasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast