Eric Jusiang (kanan) menyerahkan cenderamata kepada Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail (tengah) diiringi Muhammad Mussaddiq (kiri).

 

KUALA LUMPUR – GGR Motor, pengeluar motosikal elektrik (EV) pertama Malaysia menjangka menyerahkan lebih 6,000 unit tempahan kepada pemilik dalam masa terdekat,

Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi berkata, geran serta nombor pendaftaran motosikal EV jenama Lion G1 keluaran GGR Motor boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ bermula 1 September lalu.

Menurutnya, Lion G1 menjadi model sulung GGR Motor yang dibangunkan hasil penyelidikan tempatan dan direka khusus bagi pasaran Malaysia dengan penekanan terhadap kos mampu milik serta mesra alam.

Terdahulu pada sidang media pelancaran motosikal EV pertengahan Julai lalu, GGR Motor menyasarkan pengeluaran sehingga 30,000 unit motosikal EV menjelang akhir 2025, selari dengan pertumbuhan permintaan terhadap mobiliti elektrik di Malaysia.

Sambutan luar biasa terhadap model sulung, Lion G1, yang mencatat lebih 2,500 unit tempahan dalam masa seminggu selepas pelancaran, menjadi petunjuk jelas bahawa rakyat Malaysia semakin menerima EV sebagai alternatif mobiliti harian.

Musaddiq berkata, permintaan itu membuktikan motosikal elektrik buatan tempatan mampu bersaing, dengan kualiti tinggi pada harga mampu milik.

Menurutnya, bagi memenuhi permintaan, GGR Motor bakal membina kilang pemasangan baharu di utara Semenanjung, di atas tapak seluas lebih satu ekar, yang akan menjadi hab pengeluaran utama bagi model Lion G1 serta beberapa model baharu akan datang.

“Kilang ini dijangka mencipta lebih 50 peluang pekerjaan baharu, khusus dalam bidang teknologi hijau dan automotif elektrik.

“Usaha ini turut diperkuatkan melalui kerjasama strategik bersama PMH Motor, Bateriku.com, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM), merangkumi latihan teknikal, penyelenggaraan dan rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kilang GGR Legacy (M) Sdn Bhd yang beroperasi di Sungai Penchala sebelum ini dilancarkan dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran motosikal elektrik di rantau ASEAN.

Menurut beliau, industri EV negara turut menerima sokongan kerajaan melalui pelbagai insentif dan dasar, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pengeluar tempatan seperti GGR Motor untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasaran.

Dalam pada itu, katanya, GGR Motor menerima sokongan penuh daripada agensi utama kerajaan dengan unjungan seramai 25 anggota JPJ Wilayah Persekutuan diketuai Timbalan Pengarahnya, Eric Jusiang ke kilang GGR Legacy (M) Sdn Bhd di Kampung Sungai Penchala, di sini, Khamis lalu.

Pendekatan itu dilakukan bertujuan mendedahkan mereka secara lebih dekat dengan proses pemasangan motosikal EV disamping meninjau operasi kilang GGR Motor sebagai pengeluar motosikal elektrik (EV) pertama tempatan.

“Langkah itu menjadi titik permulaan penting dalam memastikan pengeluaran motosikal EV di negara ini berjalan mengikut piawaian ditetapkan.

SEBAHAGIAN daripada model motosikal elektrik (EV) yang dikeluarkan GGR Motor.

“Ini merupakan lawatan pertama pihak berkuasa ke kilang kami dan diharap kerjasama ini dapat melancarkan urusan prosedur operasi standard (SOP) pengeluaran motosikal EV mengikut undang-undang ditetapkan.

“Kami amat berbangga dan berbesar hati atas kesudian pihak JPJ WP meluangkan masa melawat kilang kami. Ia ibarat penghargaan terhadap usaha kami membangunkan motosikal EV di Malaysia,” tambahnya.

Kunjungan Eric Jusiang bersama anggotanya disambut oleh Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Syed Amir Abidin Jamalullail dan Muhammad Mussaddiq.

Menerusi sesi itu, pegawai dan anggota JPJ diberi taklimat operasi selain meninjau secara langsung proses pemasangan serta pengeluaran motosikal EV.

Mereka turut dibawa melawat bangunan jualan aksesori, bengkel servis dan bahagian operasi syarikat yang dibangunkan bagi menyokong ekosistem kenderaan elektrik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast