GAZA/TEL AVIV – Menteri Luar Israel, Gideon Saar, bersedia untuk mencapai perjanjian gencatan senjata dalam perang di Gaza berdasarkan cadangan baharu Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Israel “berhasrat menamatkan perang berdasarkan cadangan Presiden Trump dan mengikut prinsip yang ditetapkan oleh Kabinet Keselamatan Israel,” kata Saar semasa lawatan ke Croatia pada Selasa.
Kerajaan AS membentangkan cadangan untuk menghentikan konflik itu minggu lalu. Pada Ahad, Trump menulis di platform Truth Social bahawa kerajaan Israel telah menerima rancangan tersebut.
Menurut penyiar Israel, Channel 12, cadangan itu menetapkan penyerahan semua tebusan yang masih hidup dalam tempoh 48 jam pertama selepas gencatan senjata berkuat kuasa.
Sebagai balasan, tentera Israel akan menghentikan serangan ke atas Bandar Gaza.
Draf itu juga dilaporkan memperuntukkan rundingan ke arah perjanjian damai sepenuhnya sebaik sahaja gencatan senjata dilaksanakan.
Menurut Times of Israel, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu masih belum mengadakan mesyuarat Kabinet untuk membincangkan cadangan itu.
Rakan gabungan sayap kanan beliau setakat ini menolak gencatan senjata dalam perang Gaza.
— BERNAMA-dpa
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















