Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki

PUTRAJAYA – Empat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan didakwa susulan pembongkatan sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan cerut menerusi Op Sohor baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan lengkap sudah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya (TPR) untuk menuduh kesemua suspek.

“Seorang lagi pegawai kanan akan dikemukakan laporan tatatertib kepada Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk tindakan lanjut, sama ada dikenakan tindakan tatatertib atau mahkamah tentera.

“Manakala enam orang awam yang turut ditahan, kes mereka masih dalam penelitian TPR sama ada boleh dituduh atau tidak,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Tambah Azam, SPRM akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Pertahanan serta Panglima ATM berhubung isu kebocoran maklumat keselamatan.

Katanya, dalam serbuan Op Shoor seramai 11 tangkapan telah dilakukan melibatkan lima pegawai kanan tentera serta enam orang awam.

“Sebarang isu kebocoran maklumat adalah prerogatif kami, namun, memang ada perbincangan dengan pihak ATM dan kementerian juga memberi kerjasama baik dalam hal ini.

“Perkara ini perlu ditangani oleh Mindef supaya pada masa hadapan kebocoran tidak lagi berlaku,” jelasnya.

Sebelum ini media melaporkan, SPRM membongkar sindiket penyeludupan barangan larangan seperti dadah, rokok serta barang lain yang dipercayai didalangi pegawai kanan ATM.

Seramai 10 individu termasuk lima pegawai kanan tentera ditahan SPRM di sekitar Lembah Klang dengan kerjasama Bahagian Perisikan SPRM dan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) termasuk seorang lelaki warga Indonesia berusia antara 30 hingga 55 tahun.

Sindiket berkenaan dipercayai beroperasi di selatan tanah air dan dianggotai pegawai kanan bahagian perisikan ATM termasuk dua bekas anggota daripada bahagian sama.

Difahamkan, kumpulan itu yang sepatutnya memantau serta mengekang aktiviti penyeludupan, sebaliknya bersekongkol dengan sindiket sejak lima tahun lalu dipercayai mengumpul hasil rasuah lebih RM3 juta sepanjang tempoh penglibatan.

Siasatan awal mendapati suspek utama telah membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan membantu sindiket membawa masuk barangan larangan dari negara jiran ke Malaysia.

Nilai keseluruhan barangan yang dibawa masuk dianggarkan mencecah kira-kira RM5 juta sebulan dan setiap trip penyeludupan dipercayai memberi keuntungan rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada suspek yang terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast