JOHOR BAHRU – MCA dan MIC Johor perlu menyatakan pendirian dengan jelas sama ada terus bersama kerajaan Perpaduan atau bersedia berada di blok pembangkang.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain berkata, ini kerana pendirian kedua-dua parti berkenaan ketika ini masih lagi kabur.
“Jangan sampai MCA dan MIC dilihat sebagai parti yang tidak bermaruah di peringkat Pusat seolah-olah mahu memutuskan hubungan dengan UMNO dan kerajaan Perpaduan tetapi di peringkat negeri masih ‘mengemis’ kedudukan. Politik sebegini hanya merugikan rakyat.
“Amanah Johor menegaskan, kedudukan MCA dan MIC Johor tidak boleh lagi bersifat kabur kerana ia membawa implikasi langsung terhadap imej dan kestabilan Kerajaan Negeri Johor.
“Persoalannya, adakah mereka ingin mengikuti langkah yang ditentukan kepimpinan pusat atau memilih untuk bergerak secara bersendirian,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pendirian MCA dan MIC Johor sangat penting kerana mencerminkan suara rasmi gabungan kerajaan di negeri ini.
“Jangan pula mengelak daripada menjawab isu ini yang hanya akan menimbulkan persoalan tentang kesetiaan dan komitmen sebenar mereka terhadap kerajaan sedia ada,” ujarnya.
Amanah Johor katanya, percaya rakyat negeri ini berhak mendapat kepastian tentang arah dan pendirian setiap parti politik, lebih-lebih lagi mereka yang berada dalam kerajaan.
Beliau yang juga Ketua Amanah Kawasan Kluang mahu MCA dan MIC menyatakan kejelasan dan ketegasan segera.
Pada 2 September lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan pelawaan Pas kepada MIC dan MCA untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai usaha memancing parti komponen BN dengan tawaran yang belum jelas.
Menurut Zahid, kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyuarakan pelawaan tersebut dilihat sebagai pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi gabungan.
Terdahulu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, menyatakan parti itu terbuka bekerjasama dengan MIC dan MCA dalam PN, namun menegaskan sebarang keputusan perlu dibincangkan oleh kepimpinan tertinggi gabungan.
Beliau menegaskan, Pas tidak mempunyai masalah menjalin kerjasama dengan mana-mana parti kecuali DAP.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, sebelum ini meluahkan rasa tidak dihargai apabila parti itu tidak diberikan sebarang jawatan dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meskipun mempunyai pemimpin kanan.
MIC dijangka membuat keputusan mengenai hala tuju politiknya selepas mesyuarat agung tahunan pada Oktober.
Selain itu, bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, mengingatkan: “MCA tidak boleh hanya jadi pengikut, menunggu apa orang lain putuskan. Jika kita tidak berani membuat pendirian, orang tidak akan lagi peduli pada pendapat kita.”- MalaysiaGazette

















MCA & MIC parti yang layu dan jumud. macam rumput semalu yang kuncup bila disentuh. biasanya dicabut hingga ke akarnya dan dibuang. UMNO boleh saja tanam rumput baru yang lebih segar dan nilai yang tinggi. yang saja tak payah sayang. Tak ada nilai pasaran pun.