KUALA LUMPUR – Islam menolak konsep masyarakat madani ala Barat yang hanya menekankan kebendaan dan bangsa semata-mata, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Sebaliknya beliau menegaskan, Islam menawarkan pendekatan menyeluruh yang menghubungkan manusia dengan Allah dan sesama manusia.
“Ada pun bagi Malaysia Madani, tidak pula dinyatakan apakah maksud perkataan madani yang hanya menjadi slogan kosong tanpa dinyatakan prinsip dan landasan yang menentukan hala tujunya sama ada betul atau pun sesat.
“Islam mentafsirkan madani yang disebut dalam ayat di atas dengan mentafsirkannya berpandukan ayat yang lain. Antaranya dengan membawa konsep bertolong-tolongan yang menghubungkan hati dengan roh bukan sekadar hubungan kebendaan yang masih lagi menjadi dasar negara,” katanya.
Abdul Hadi berkata demikian dalam Minda Presiden Pas berjudul ‘Menghadapi masyarakat majmuk yang diatur penjajah’ hari ini.
Menurut beliau, masyarakat majmuk di Malaysia masih dibelenggu warisan penjajah yang sengaja mencipta perpecahan antara kaum demi mengekalkan pengaruh mereka.
“Kita sedang menghadapi saki-baki penyusunan masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah, mereka meninggalkan permasalahan yang sengaja diwujudkan sebagai alasan untuk kembali semula menjadi pembantu yang khianat,” katanya.
Beliau berkata, perubahan terhadap sistem negara mesti dilakukan dengan penuh muhasabah kerana penjajah meninggalkan banyak ‘jerangkap samar’ yang boleh mencetuskan krisis jika disentuh secara cuai.
“Kita perlu melakukan muhasabah terlebih dahulu sebelum melakukan perubahan yang positif terhadap sebarang perkara yang memerlukan pindaan,” ujarnya.
Katanya, Islam menawarkan jalan penyelesaian yang adil kepada semua, tiada paksaan dalam beragama dan menolak fanatisme perkauman.
“Malah Islam juga mengamalkan prinsip menerima yang baik daripada semua kaum dan menolak yang buruk walaupun daripada bangsa dan umat sendiri,” jelasnya.
Abdul Hadi menambah, strategi penjajah membawa masuk masyarakat berbilang bangsa dan memisahkan mereka mengikut sektor ekonomi serta kawasan penempatan telah mewujudkan jurang yang masih wujud hingga kini.
“Kaedahnya adalah dengan mengadu domba antara kaum dengan semangat perkauman yang fanatik, sikap beragama yang melampau, dan hubungan bermasyarakat yang rapuh,” katanya.
Beliau juga menegaskan Perlembagaan Persekutuan yang menerima Islam sebagai agama Persekutuan serta mengiktiraf hak istimewa Melayu dan bumiputera tidak boleh diganggu dengan sebarang pindaan yang mengundang perpecahan.
“Maka sebarang pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan tidak boleh merosakkan konsep yang telah berjaya menjalinkan hubungan yang baik ini,” tegasnya.
Menurutnya, suara-suara yang mahu menghapuskan kedudukan Islam dan hak bumiputera atas nama demokrasi Barat perlu dinilai semula kerana sistem itu di negara asalnya sendiri sedang merosakkan hubungan masyarakat majmuk.
“Maka jangan diteruskan teori dan ideologi Barat yang nyata kegagalannya. Sebaliknya, cubalah merujuk Islam yang telah membuktikan kejayaannya dalam sejarah yang dilupakan,” kata Abdul Hadi. – MalaysiaGazette
















