Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada hari terakhir Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia 2023 di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 25 NOVEMBER 2023. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan pencalonan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat berdasarkan sokongan sebulat suara perwakilan parti bukan kehendak peribadi mana-mana individu.

Jelasnya, semua pihak boleh merujuk kepada perkembangan semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Ahad lalu dimana perkara itu dipersetujui perwakilan yang hadir.

“Mengapa tidak rujuk kepada fakta? Mohon dengar perbahasan 20 pembahas dan usul yang dibentangkan oleh pengerusi tetap.

“Lihat bagaimana sokongan sebulat suara dari perwakilan. Tak payah layan orang yang ada agenda tersendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mohamed Azmin berkata demikian mengulas laporan akhbar theSun yang memetik sumber dalaman mendakwa pencalonan Muhyiddin datang daripada dirinya sendiri dengan bantuan Azmin, tanpa melalui proses konsultasi dalam Perikatan Nasional (PN).

Menurut laporan itu, sumber terbabit mendakwa Muhyiddin dan Mohamed Azmin saling bergantung demi kesinambungan politik meskipun kedua-duanya tidak lagi dilihat sebagai pilihan utama dalam kalangan pemimpin parti komponen PN.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin menegaskan, hakikat sebenar jelas terbukti apabila perwakilan dalam PAT Bersatu sebulat suara menyokong usul agar Muhyiddin diumumkan sebagai calon Perdana Menteri.

Sebelum ini, pengumuman berhubung pencalonan itu dilaporkan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin Pas yang menyifatkan langkah tersebut dibuat terlalu awal dan tanpa perbincangan bersama.

Mohamed Azmin sebelum ini mengeluarkan kenyataan di Facebook mendakwa keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara oleh perwakilan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan PN masih belum memuktamadkan calon Perdana Menteri.

Dalam masa sama, timbul spekulasi 120 ketua bahagian Bersatu menandatangani deklarasi meminta Muhyiddin berundur dan memberi laluan kepada penggantinya, namun perkara itu belum disahkan secara rasmi.

Langkah tersebut bagaimanapun menggambarkan wujud perbezaan pandangan dalaman meskipun secara asasnya pencalonan Muhyiddin menerima sokongan penuh daripada majoriti perwakilan Bersatu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast