SHAH ALAM – Pihak pembelaan sudah menerima semua dokumen berkaitan kes seorang anggota polis yang didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah tahun lalu.
Peguam, Aida Jaafar Mad Ariff yang mewakili Lans Koperal Muhammad Alif Monjani berkata, dokumen-dokumen tersebut diserahkan oleh pihak pendakwaan antaranya membabitkan barang-barang kes semasa kejadian.
“Pihak pembelaan akan meneliti terlebih dahulu semua dokumen yang telah diserahkan,” ujarnya selepas sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nadia Othman hari ini.
Menurut peguam, mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober ini bagi sebutan semula kes.
Katanya, pada tarikh itu pihak pembelaan akan memaklumkan kepada mahkamah sama ada untuk mengemukakan representasi atau sebaliknya.
Semasa prosiding, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Maizatul Munirah Abdul Rahman. Selain Aida Jaafar, tertuduh turut diwakili peguam Nur Aida Md Zainuddin.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Alif, 27, didakwa menyebabkan kematian Nur Farah Kartini, 26, di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam antara pukul 9 pagi, 10 Julai dan pukul 6 petang pada 15 Julai 2024.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, media melaporkan Nur Farah Kartini hilang sejak 10 Julai 2024 selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Mayatnya kemudian dijumpai oleh pihak polis di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang.
Susulan itu seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak telah ditahan dan direman untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















