fFsiliti gas asli cecair di Bintulu.

PUTRAJAYA – Kakitangan Petronas yang menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan untuk mengancam fasiliti gas asli cecair (LNG) di Bintulu, Sarawak tidak didaftar di negara ini.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, hasil semakan nombor telefon tersebut menunjukkan ia telah berdaftar di negara jiran.

“Perdana Menteri ada memberi sedikit maklumat terkini di mana seperti yang telah diumum oleh Ketua Polis Negara semalam.

“Ia melibatkan beberapa SMS yang telah dihantar kepada seorang pegawai Petronas dan semakan dengan nombor telefon tersebut menunjukkan ia telah berdaftar di negara jiran.

“Jadi bukan nombor telefon dalam negara kita,” katanya pada sidang media mingguan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan semua kemudahan LNG di Bintulu, Sarawak memperketatkan langkah keselamatan berikutan satu ancaman yang tidak diperincikan.

MKN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa arahan tersebut dikeluarkan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung ancaman berkenaan.

Selain itu, Fahmi juga berkata, setakat ini pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu yang menghantar mesej terbabit.

“Perkara ini dalam pemantauan, pihak PDRM telah memastikan aspek keselamatan di premis tersebut, di lokasi tersebut adalah terjamin.

“Manakala pihak MKN sedang menilai aspek-aspek secara keseluruhan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast