KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menafikan kesahihan poster yang memaparkan tarikh-tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 yang kini tular di media sosial.
Setiausahanya, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, poster berkenaan adalah palsu dan tidak benar sama sekali.
“Sehingga kini, tiada sebarang pengumuman rasmi telah dibuat oleh SPR berkenaan pembubaran DUN Sabah mahupun penetapan tarikh-tarikh penting bagi PRU tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairul Shahril menjelaskan, sebarang maklumat rasmi mengenai pilihan raya termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari mengundi hanya akan dikeluarkan melalui saluran rasmi SPR.
“Maklumat hanya disiarkan melalui laman portal rasmi SPR, sidang media dan kenyataan media,” tegas beliau.
SPR turut menegaskan, penyebaran maklumat palsu sebegini merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Oleh itu, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyebar, berkongsi atau menerbitkan maklumat palsu tersebut.
“Tindakan boleh diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang lain yang berkaitan,” katanya.
Beliau menyeru orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang maklumat yang tidak sahih.
DUN Sabah ke-16 akan terbubar secara sendiri pada 11 November ini, sekiranya DUN tidak dibubarkan sebelum tarikh itu, seterusnya memberi laluan kepada PRN Sabah ke-17. – MalaysiaGazette
















