Azam Baki

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memperkenalkan satu rangka tindakan (blueprint) iaitu program Keep Malaysia Clean (KMC) sempena sambutan ulang tahun penubuhan suruhanjaya itu yang ke-58 pada 1 Oktober depan.

Program KMC yang dirangka dengan kerjasama Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) itu dijangka dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tarikh tersebut.

Menjelaskan lebih lanjut, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, KMC bertujuan meningkatkan kesedaran dan pendidikan awam mengenai kepentingan menjadikan Malaysia bebas amalan rasuah.

Ujar beliau, KMC juga bertepatan dengan hasrat kerajaan yang mahukan penekanan diberikan dalam meningkatkan integriti rakyat negara ini seterusnya memantapkan aspek tata kelola serta tadbir urus yang baik.

“Program KMC ini hampir sama dengan pendekatan yang kita ada sekarang, tetapi ia iebih berstrategik dan memfokuskan kepada impak yang lebih maksimum terhadap tindakan-tindakan yang kita ambil.

“Kumpulan-kumpulan sasar yang kita fokuskan dalam KMC ini temasuk penjawat awam, kumpulan pelajar dari sekolah rendah hinggalah ke penuntut universiti, ahli-ahli perniagaan dan masyarakat serta komuniti secara keseluruhannya,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat SPRM di sini semalam.

Menurut Azam, program KMC itu juga merupakan antara strategi SPRM dalam meneroka pendekatan baharu bagi menangani isu-isu berkaitan amalan rasuah dan integriti.

Menurut beliau, SPRM tidak boleh terus berada di takuk lama, sebaliknya memerlukan kaedah dan pendekatan baharu yang lebih sesuai dengan tuntutan masyarakat ketika ini.

“Kes-kes dalam kita menjalankan siasatan juga berubah, yang mana kita tidak boleh lagi hanya melihat kepada kes berskala kecil, sebaliknya harus memberi tumpuan kepada kes berskala besar serta yang melibatkan kepentingan awam,” katanya.

Tambah beliau, bagi menjayakan program KMC itu juga, SPRM menerusi Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) telah mengadakan sesi libat urus dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir bagi mendapatkan sokongan dan kerjasama strategik.

Jelas beliau, kedua-dua kementerian itu disifatkan penting dalam usaha SPRM mendekati pelajar sekolah dan penuntut universiti untuk menyebar luas kesedaran mengenai kepentingan menolak amalan rasuah.

Tambah beliau, kumpulan sasar dalam kalangan generasi muda itu diharapkan dapat menjadi wakil atau ejen kepada pihak sekolah atau universiti dalam menerapkan amalan hidup berintergriti dalam kalangan masyarakat.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata, SPRM juga akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat ke-21 Asean-PAC pada 28 hingga 30 Oktober depan yang bakal berlangsung di Sunway Resort Hotel bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

Katanya, mesyuarat itu akan disertai ketua-ketua agensi pencegahan rasuah dari 10 negara ASEAN dan Timor-Leste sebagai pemerhati, serta beberapa organisasi antarabangsa yang dijemput.

“Mesyuarat itu bertemakan Strenghtening Asean Unity: Public-Private Partenship to Combat Corruption yang bermaksud mengukuhkan kerjasama serantau melalui perkongsian pintar antara sektor awam dan swasta dalam memerangi rasuah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast