Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu membabitkan projek pembinaan pusat janakuasa, landasan keretapi dan pelabuhan di Songkhla, Thailand pada 2016.

Zainol Abidin Omar, 66, didakwa memperdayakan seorang individu untuk mempercayai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan projek pembinaan pusat janakuasa, landasan keretapi dan pembangunan pelabuhan di Songkhla, Thailand.

Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan wang RM1,907,427 ke dalam akaun bank milik TBEA Energy & Power (M) Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bangunan pejabat di Jalan Stesen Sentral 2, dekat sini pada November 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun serta boleh disebat dan didenda jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa, Mohd Zulfadli Azharudin menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam, Mohd Zaidi Othman yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah sekitar RM5,000 atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja dan merupakan pesakit jantung kronik.

Hakim Rosli Ahmad membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan dan menetapkan 29 Oktober ini untuk sebutan kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast