GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mahu kerajaan Persekutuan mengharamkan penjualan rokok elektronik (e-rokok) dan vape dengan serta-merta demi menyelamatkan generasi muda.
Pegawai Pendidikan CAP, NV. Subbarow menegaskan, langkah itu tidak boleh ditangguh atau dilaksana secara berperingkat kerana penggunaan vape dalam kalangan pelajar dan golongan muda kini semakin tidak terkawal.
“Kita menyambut baik kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengenai usaha pengharaman penjualan vape, namun tindakan itu perlu dilakukan segera.
“Kita harap pihak Kementerian Kesihatan tidak melaksanakannya secara berperingkat, bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape.

“Apa yang perlu dilakukan ialah pengharaman penuh ke atas keseluruhan produk ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Subbarow turut mempersoalkan sikap beberapa kerajaan negeri lain yang masih belum mengambil langkah untuk tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan vape melalui bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sedangkan enam negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang telah berbuat demikian.
“Kenapa perlu menunggu lagi sedangkan budaya vape dan e-rokok sudah menjadi masalah besar dalam kalangan generasi muda.
“CAP berpendapat sudah tiba masanya untuk kerajaan Malaysia mengharamkan sepenuhnya e-rokok dan vape demi menyelamatkan generasi akan datang memandangkan produk ini berbahaya, menyebabkan ketagihan, mengandungi bahan toksik serta ada yang dicampur dengan bahan terlarang.
“Sehingga kini, usaha kerajaan mengawal selia terbukti tidak berjaya dan vape kini telah berkembang menjadi masalah narkotik yang lebih serius,” katanya.
Media semalam melaporkan Menteri Kesihatan dalam jawapan bertulis Dewan Negara berkata, kerajaan akan mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok elektronik atau vape dan pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape sehingga meliputi keseluruhan produk.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan had masa ditetapkan bagi pelaksanaan pengharaman sepenuhnya penjualan rokok elektronik atau vape. – MalaysiaGazette
















