JOHOR BAHRU – Pembangkang diharap menyokong langkah melaksanakan pengasingan sepenuhnya peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya yang dibuat untuk kebaikan negara sekali gus mengurangkan potensi konflik kepentingan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, keputusan berkenaan memenuhi satu agenda besar reformasi undang-undang negara.
Jelas beliau, langkah tersebut penting untuk memperkukuh institusi negara.
Menurut Hassan, pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan bagi membolehkan pemisahan kuasa itu direalisasikan sepenuhnya.
“Saya sebagai seorang peguam juga menyedari beberapa pindaan Perlembagaan perlu dilakukan Parlimen.
“Dalam hal ini saya berharap semua pihak sama ada pihak kerajaan dan pembangkang di Parlimen akan menyokong usaha menjayakan reformasi institusi penting negara Malaysia kita dengan meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu nanti,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau berkata, melaksana pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sepenuhnya merupakan antara tuntutan utama dalam agenda reformasi.
Hassan menyokong penuh keputusan Kabinet tersebut dan menyifatkannya sebagai agenda reformasi undang-undang yang diperjuangkan kerajaan ketika ini.
“Sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang, anggota backbencher kerajaan, saya menyokong penuh dan mengalu-alukan keputusan Kabinet semalam yang bersetuju melaksanakan pengasingan sepenuhnya peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Saya menganggap keputusan ini memenuhi antara lain tuntutan utama agenda reformasi undang-undang di bawah kerajaan sekarang,” katanya.
Sebelum itu media melaporkan kerajaan semalam membuat keputusan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan model-model pengasingan kepada Jemaah Menteri.
Setelah pertimbangan dibuat, Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan ini diambil selepas meneliti Laporan Akhir dan Hala Tuju yang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dipengerusikan Azalina.- MalaysiaGazette
















