Onn Hafiz ketika berucap dalam sidang DUN Johor di Dewan Persidangan Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di sini hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yakin merekodkan unjuran hasil negeri RM2.5 bilion pada tahun ini.

Beliau melihat Johor berada dalam landasan yang tepat mencapai rekod tertinggi dalam sejarah itu mampu dicapai menerusi perancangan yang dijalankan termasuk sumbangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Saya juga telah meneliti prestasi hasil negeri dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. Dari 2015 hingga 2021, hasil negeri Johor adalah sekitar RM1.5 hingga RM1.7 bilion.

“Namun bermula 2022, hasil negeri mula  menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan secara konsisten sebanyak RM200 juta hingga RM300 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Kedua bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Dewan Persidangan Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di sini hari ini.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, pencapaian ini tidak berlaku secara kebetulan tetapi adalah hasil perancangan rapi, pengurusan kewangan negeri yang lebih terperinci dan hasil usaha gerak kerja sebagai satu pasukan.

“Satu fakta yang tidak boleh kita nafikan adalah bahawa peningkatan hasil negeri yang naik secara drastik ini adalah disebabkan sumbangan melalui JS-SEZ.

“Seperti yang saya tekankan sebelumini, kerajaan negeri akan memastikan bahawa limpahan hasil ini akan sentiasa disalurkan kepada rakyat di setiap pelusuk negeri ini,” ujarnya.

Katanya, baru-baru ini, kerajaan negeri telah mengumumkan pelbagai bentuk inisiatif melibatkan kira-kira RM20 juta yang akan memanfaatkan lebih 200,000 rakyat di negeri ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast