KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau kagum membaca kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki yang akan menyiasat hartanya di United Kingdom (UK).
Secara sinikal, bekas perdana menteri dua kali itu melahirkan rasa hairan kerana rupa-rupanya dia memiliki harta di UK.
“Rupa-rupanya saya ada harta di UK. Saya tak tahu,” tulis beliau menerusi hantaran di Facebook.
Lantas, beliau menggesa SPRM memaklumkan lokasi sebenar aset berkenaan sekiranya benar ia wujud.
“Tolong bagi tahu kepada saya supaya saya dapat claim (tuntut) harta ini. Setelah dapat harta ini saya akan hadiah kepada ramai yang miskin,” bidas beliau.
Selasa lalu, Azam dalam sidang media di Putrajaya berkata siasatan terhadap Mahathir masih berjalan dengan tumpuan kini diberikan kepada aset yang dipercayai dimiliki beliau di UK.
Beliau berkata pihaknya kini sedang dalam proses mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak berkuasa UK berhubung perkara itu.
“Siasatan melibatkan Dr Mahathir masih lagi dijalankan dan kami sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak luar terutama sekali pihak UK, pihak autoriti UK berhubung dengan aset-aset yang dimiliki oleh Dr Mahathir.
“Sekiranya (maklumat) dapat diperoleh, kita akan maklumkan kemudian,” katanya.
Pada April 2024, Azam dilaporkan berkata bekas perdana menteri itu antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.
Susulan penyiasatan itu, kedua-dua anak beliau diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Pada 21 Januari lalu, menurut pengisytiharan harta yang dikemukakan kepada SPRM, Tan Sri Mokhzani Mahathir memiliki aset bernilai kira-kira RM1 bilion, manakala Mirzan Mahathir sebanyak RM246.2 juta. – MalaysiaGazette















