Habib Muhmud (tengah) bersama isterinya menunjukkan keadaan anak bongsu mereka yang kini perlu menjalani pembedahan jantung pada 23 September depan.

BUKIT MERTAJAM – Bayi lelaki baru lahir yang menghidap penyakit jantung kongenital memerlukan dana segera berjumlah RM110,000 bagi menjalani pembedahan menyelamatkan nyawanya.

Abdullah Mubarak Habib Muhmud dikesan mengalami masalah jantung sejak dalam kandungan ketika usia enam bulan, selain pertumbuhan terbantut.

Bapanya, Habib Mahmud Mohd Salim, 29, berkata, anaknya dilahirkan melalui pembedahan caesarean pada usia kandungan 36 minggu dengan berat 2.73 kilogram.

Katanya, Abdullah Mubarak mengalami sianosis sejurus selepas lahir sebelum dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudian mengesahkan anak saya menghidap kecacatan jantung kompleks dan hanya mampu bertahan dengan bantuan oksigen.

“Doktor memaklumkan pembedahan perlu dilakukan dalam tempoh tiga minggu ini bagi menyelamatkan nyawa anak kami dan saya hanya mampu sediakan RM3,000 manakala selebihnya saya terpaksa mohon ihsan orang ramai,” katanya yang bekerja sebagai guru agama swasta.

Habib berkata isterinya, Sles Roza, 25, tidak bekerja dan mereka turut menanggung seorang lagi anak lelaki berusia dua tahun.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya bersetuju membantu keluarga tersebut selepas membuat lawatan dan semakan kes.

“Pembedahan Abdullah Mubarak dijadualkan pada 23 September depan dan kami akan menyalurkan RM10,000 daripada Tabung Kecemasan Perubatan One Hope Charity bagi meringankan beban keluarga ini,” katanya dalam kenyataan.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (3193433435) atau laman web rasmi www.onehopecharity.org.

Pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui talian hotline 04-5399212, 016-4192192, 019-2322192 atau 018-9114192. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast