Orang ramai menghadiri vigil aktivis Charlie Kirk yang maut ditembak di Universiti Utah. foto AFP

OREM, AS – Presiden Donald Trump pada Khamis menggesa penyokongnya supaya bertindak balas secara aman terhadap pembunuhan aktivis kempen sayap kanan, Charlie Kirk, ketika pembunuhnya masih bebas lebih 24 jam selepas kejadian tembakan yang semakin meruncingkan perpecahan di Amerika Syarikat.

Trump, yang sejurus selepas kejadian berikrar dengan marah untuk mengambil tindakan besar-besaran terhadap “radikal kiri,” memberitahu pemberita bahawa Kirk merupakan “seorang pejuang tanpa keganasan.”

“Itulah cara saya mahu orang ramai bertindak balas,” katanya.

Kirk, 31, bintang besar sayap kanan Republikan yang berjaya menarik sokongan anak muda kepada Trump, ditembak ketika berucap di hadapan ribuan hadirin di Utah Valley University pada Rabu.

Namun sehari kemudian, pihak berkuasa berkata suspek penembak masih bebas.
“Pelbagai petunjuk sedang disiasat, tetapi tiada suspek ditahan,” menurut kenyataan pihak penguat kuasa undang-undang Utah.

“Kami sedang lakukan segala yang mampu untuk menjejakinya, tetapi kami belum pasti sejauh mana dia telah melarikan diri,” kata Ejen Khas FBI, Robert Bohls.

FBI, yang menyifatkan serangan terhadap Kirk itu sebagai “sasar,” turut menyiarkan gambar seorang individu muda yang digelar “penembak berpotensi.”

Gambar menunjukkan seorang lelaki memakai topi besbol hitam, cermin mata gelap, berseluar jeans dan baju lengan panjang bercorak dengan bendera Amerika.

Ganjaran sehingga AS$100,000 ditawarkan bagi maklumat yang membawa kepada penangkapannya.

Polis percaya penembak itu melepaskan satu das tembakan dari bumbung pada jarak sehingga 200 ela (180 meter), mengenai leher Kirk.
Sebuah senapang bolt-action berkuasa tinggi ditemui di kawasan hutan berhampiran.

‘Detik hitam’ 

Mencerminkan sifat politik yang tinggi dalam kes ini, keranda Kirk dibawa pulang ke bandar asalnya, Phoenix, menggunakan pesawat rasmi JD Vance.
Rakaman menunjukkan Naib Presiden itu meletakkan tangannya pada keranda ketika ia dibawa ke Air Force 2.

Balunya, Erika, dilihat bergandingan tangan dengan isteri Vance ketika turun dari pesawat di Arizona, markas Turning Point USA yang berpengaruh.

Mediasfera sayap kanan masih sarat dengan emosi pada Khamis, dengan penyumbang Fox News berkongsi kesan besar Kirk dalam kehidupan mereka.

Teori konspirasi bertebaran di internet, sementara ada yang menyeru kembali kepada adab politik, tidak kurang juga yang menuntut pembalasan.

“INI PERANG,” tulis akaun sayap kanan popular @LibsofTikTOK di X.

Hos Fox News, Jesse Watters pada Rabu berkata pembunuhan itu membuktikan pihak mereka sedang diserang.

“Sama ada kita mahu terima atau tidak, mereka berperang dengan kita. Dan apa yang kita akan buat mengenainya?” soalnya kepada penonton.

‘Syahid’ bagi sayap kanan 

Pelajar di Utah Valley University pada Khamis meluahkan rasa terkejut dan kebimbangan lebih besar apabila jurang politik di seluruh negara semakin melebar.

Dave Sanchez memberitahu AFP bahawa menyaksikan pembunuhan itu membuatnya “loya.”

“Kami selalu menontonnya, jadi memang terasa seperti ahli keluarga sendiri, seperti abang sendiri telah dibunuh,” kata Sanchez, 26 tahun.

Kirk, yang penyokongnya anggap sebagai “syahid” untuk idealisme konservatif, mempunyai pengaruh besar dalam politik AS.

Beliau mengasaskan Turning Point USA pada 2012 untuk menyemai pandangan konservatif dalam kalangan anak muda, dengan gaya kepetahannya menjadikannya jurucakap utama di rangkaian televisyen.

Kirk menggunakan audiens besar di TikTok, Instagram dan YouTube untuk menggerakkan sokongan terhadap dasar anti-imigresen, keagamaan Kristian yang lantang, pemilikan senjata api, serta menyiarkan klip debatnya yang disunting rapi di pelbagai kampus.

Tiga bulan lalu, seorang lelaki dari Minnesota menembak mati seorang ahli parlimen Demokrat dan suaminya di rumah mereka, manakala Trump sendiri terselamat daripada cubaan bunuh ketika kempen pilihan raya pada Julai 2024. -AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast