Peguam hak asasi, N. Surendran (tengah) bercakap kepada wartawan ketika sidang media oleh wakil Kampung Sungai Baru diadakan atas isu pengusiran penduduk di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 12 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – “Jangan salahkan penduduk Kampung Sungai Baru. Mereka tidak minta tanah mereka diambil secara paksa sebaliknya mangsa juga adalah mangsa.

Penasihat Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, N Surendran berkata, walaupun pengambilan tanah dilakukan pada era kerajaan terdahulu namun kerajaan hari ini perlu mempunyai tanggungjawab moral dan politik untuk mencari penyelesaian segera.

Beliau turut menyifatkan penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 ke atas kampung itu sebagai tidak adil dan penuh penderitaan kepada rakyat.

“Kerajaan mesti campur tangan dan memastikan satu rundingan adil diadakan sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya pada sidang media hari yang turut disertai sekumpulan kecil penduduk Kg Baru di sini hari ini.

Kata Surendran dalam nada kesal, sejak insiden semalam segelintir nasib penduduk kini tidak mempunyai tempat tinggal selepas operasi pengosongan dijalankan.

Katanya, barangan peribadi mereka dikeluarkan secara tergesa-gesa dan dibiarkan berselerakan di luar rumah tanpa kawalan keselamatan.

Sebahagian daripada penduduk melihat keadaan rumah yang sebahagianya telah dirobohkan ketika tinjauan lensa Malaysiagazette susulan isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 12 SEPTEMBER 2025.

Surendran turut menegur kenyataan pihak polis yang sebelum ini menyatakan mereka akan memastikan pengosongan dijalankan sedangkan perkara itu bukan di bawah bidang kuasa polis.

Katanya, isu membabitkan perobohan rumah Kampung Sungai Baru adalah pertikaian sivil antara pemaju swasta dengan penduduk.

Dalam sidang media itu, Surendran mengumumkan pendirian jawatankuasa untuk berjuang memansuhkan Seksyen 3(1)(c) Akta Pengambilan Tanah 1960 peruntukan yang membolehkan mana-mana tanah rakyat diambil bagi tujuan pembangunan walaupun bukan untuk kepentingan awam.

Katanya, beliau sendiri akan memfailkan permohonan mahkamah untuk membatalkan Seksyen 3(1)(c) untuk membatalkan seksyen yang didakwa beliau sebagai zalim.

Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang bersimpati dengan nasib penduduk, Surendran berkata jawatankuasa terbuka untuk berbincang dengan wakil kerajaan pada bila-bila masa.

Namun pada masa sama beliau menegaskan, sebarang rundingan tidak akan bermakna jika pengosongan diteruskan. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Projek Kampung Sg Baru tak wajar diputar belit, pampasan cecah RM3.8 juta – Sanita

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast