YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kuching, Sarawak . 12 September 2025. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen Kerajaan MADANI akan terus membuka ruang perbincangan secara harmoni, tertib dan penuh saling hormat bersama Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah.

Perdana Menteri berkata dalam semangat MADANI, Kerajaan Persekutuan bukan sahaja bertekad menyelesaikan isu-isu berbangkit, malah merealisasikan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak yang telah lama menanti.

“Kerajaan MADANI hari ini adalah kerajaan yang paling giat dan paling banyak menyelesaikan perkara-perkara berhubung MA63, hasil kesungguhan, muafakat dan komitmen bersama semua pihak,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, Anwar berkata beliau turut mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2025 di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching.

Menurut beliau turut sama ialah Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan pimpinan Persekutuan dan negeri.

Anwar berkata mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada pelaporan status kemajuan terkini berhubung pelaksanaan persetujuan di bawah MA63.

“Antara perkara yang dibentangkan dan dibincangkan ialah cadangan pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak, hal ehwal pelancongan, kuasa dalam pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman, serta pemberian kuasa berhubung pengurusan alam sekitar,” katanya.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah atas kerjasama erat, keikhlasan serta semangat persaudaraan yang sentiasa menjadi sandaran dalam menzahirkan MA63 secara adil dan bermakna. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast