Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap sempena Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-66 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 SEPTEMBER 2025

ALOR SETAR – Belum pun reda isu kehadiran Pemuda MIC ke Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) sayap Armada Bersatu, kini giliran Pas pula mengundang sayap parti komponen Barisan Nasional (BN) itu ke Muktamar Tahunan Pas di sini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya menjemput semua parti politik termasuk MIC dan MCA sebagai tetamu kenamaan dalam perhimpunan agung parti Islam itu yang dianjurkan di sini, tahun ini.

“Saya difahamkan Pemuda Pas, kita jemput semua. Parti-parti (politik) kita jemput. MIC dan MCA pun kita jemput dan mereka terima undangan itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-66 di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berucap sempena perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-66 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 SEPTEMBER 2025

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pihaknya tidak menghantar jemputan itu kepada UMNO, sebaliknya Pas mahu parti Melayu itu menyertai parti Islam itu.

“UMNO kita tak jemput, kita minta UMNO jadi ahli Pas,” katanya.

Afnan turut melahirkan kebimbangan sekiranya MIC tidak dapat memenuhi jemputan itu susulan kehadiran Pemuda MIC menjadi kontroversi pada PAT Armada Bersatu, Ahad lalu.

“Kita jemput Timbalan Ketua Pemuda MIC, K Kesavan, saya jemput berdepan dekat PAT Bersatu tempoh hari dan kita hantar surat rasmi.

“Hari ini mungkin dia tak hadir. Dia nak hadir, mungkin ada orang nasihat jangan hadir kot, tak tahulah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast