ALOR SETAR – Muktamar Pemuda Pas kali ke-66 hari ini sebulat suara meluluskan usul supaya parti itu perlu bersedia memimpin Perikatan Nasional (PN) dan menerajui kepimpinan utama negara.
Ia merupakan salah satu daripada empat usul yang diluluskan Muktamar Pemuda Pas kali ini untuk dibawa ke Muktamar Pas Pusat ke-71 yang akan berlangsung Isnin depan.
Turut diluluskan secara sebulat suara adalah usul supaya Pemuda Pas mesti lantang, konsisten dan terkehadapan dalam isu Palestin.
Selain itu, turut diluluskan adalah usul mempertahankan hak negeri dalam sumber nadir bumi (REE) serta memastikan majoriti hasil keuntungan dipulangkan kepada negeri.
Usul terakhir yang diluluskan adalah supaya Pemuda Pas meneruskan momentum menolak Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Terdahulu, Ketua Penerangan Pemuda Pas yang juga Ketua Jawatankuasa Usul, Nazir Helmi berkata, jawatankuasa itu menerima sebanyak lapan usul untuk dibawa ke Muktamar Pas Pusat kali ini.
Katanya, dua daripada usul itu diterima daripada Dewan Pemuda Pas Selangor, enam dari Terengganu manakala satu usul dari Pemuda Pas Johor.
“Daripada 11 usul, ada empat usul yang diterima dan dibahas, manakala ada tujuh usul yang ditolak,” katanya pada Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ke-66 di Kompleks Pas Kedah hari ini.
Sebelum ini, wujud beberapa desakan dari dalam Pas supaya parti itu memimpin PN disebabkan merupakan parti komponen dengan jumlah Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbesar.
Antara yang konsisten mendesak Pas menerajui PN ialah Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang turut menyifatkan parti itu mempunyai rekod cemerlang serta jentera akar umbi yang kuat di seluruh negara, sekaligus menjadikan Pas pilihan utama untuk memimpin PN. – MalaysiaGazette
















