Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR- Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam bagi membincangkan serangan Israel terhadap Qatar pada 15 September 2025 di Doha, Qatar.

Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta pegawai-pegawai kanan kementerian.

Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam ini akan dihadiri oleh para pemimpin dan wakil-wakil Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dan akan didahului oleh Mesyuarat Persediaan Peringkat Menteri Arab-Islam pada 14 September 2025.

Kementerian Luar Negeri berkata, penyertaan perdana menteri dalam Sidang Kemuncak Tergempar ini menunjukkan sokongan penuh dan solidariti terhadap Qatar dan kesinambungan usaha Malaysia dalam mempertahankan hak rakyat Palestin, mengecam kekejaman dan keganasan Israel.

Perdana Menteri akan menyampaikan Kenyataan Negara di sidang kemuncak tersebut bagi menegaskan pendirian tegas Malaysia bahawa keamanan serantau dan dunia terancam sekiranya Israel dibiarkan mencabul undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kedaulatan negara.

Sidang Kemuncak ini dijangka meluluskan satu resolusi yang menggariskan tindakan dan pendirian bersama negara-negara anggota dalam menangani isu ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast