Ketua Dewan Ulamak pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya menyampaikan ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak Pas Pusat ke-64 di Maahad Darul Hadis, Alor Setar, Kedah.

ALOR SETAR – Kes kematian pelajar tingkat satu, Zara Qairina Mahathir dan pelatih Palapes, Syamsul Haris Shamsudin menyatu dan menyedarkan rakyat di mana gejala buli tidak lagi dipandang sepi.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, bahkan kes kematian dua individu itu mendapat perhatian rakyat yang menuntut keadilan untuk semua lapisan masyarakat.

“Terbaru kes melibatkan adik Zara Qairina serta Syamsul Haris yang dipercayai menjadi mangsa buli.

“Kes ini telah menyatu dan menyedarkan seluruh rakyat di negara ini dan fenomena ini telah membawa satu pandang sisi bahawa buli bukan lagi isu terpencil di sebalik tembok sekolah.

“Bahkan isu buli telah menjadi isu nasional yang mendapat perhatian seluruh rakyat,” katanya ketika ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak Pas Pusat ke-64 di Maahad Darul Hadis, di sini, hari ini.

Turut hadir, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.

Ahmad berkata, isu buli antara gejala sosial didakwa semakin sukar dibendung yang kini menghantui masyarakat.

“Bahkan isu-isu lain seperti bertukar pasangan, gejala hubungan seksual sesama jantina khusus MSM adalah sebahagian daripada isu-isu utama yang melanda negara dan ummah.

“Permasalahan ini seterusnya membawa kepada peningkatan jangkitan HIV yang dilaporkan dalam negara.

“Apa yang menjadi perhatian kita adalah bagaimana isu-isu ini diuruskan dengan baik oleh kerajaan menanggapi prinsip tujuan syariat itu sendiri,” katanya.

Katanya lagi, sesetengah isu ditangani secara tidak cermat sehingga membawa kepada permasalahan lain yang lebih parah.

“Penyelesaian Islam harus ditelusuri ke tengah masyarakat sebagai solusi yang absah untuk menanggapi pelbagai permasalahan umat pada hari,” katanya.

Selain itu, kata Ahmad, pelbagai corak pemikiran masuk menjengah jemaah Ulamak Pas di era maklumat terbuka, tidak terkecuali rakyat di bawah yang menerima pelbagai bentuk maklumat tanpa ada tapisan.

“Maka, begitulah mudahnya pemikiran-pemikiran songsang sekularisme, liberalisme, pluralisme dan sebagainya menguasai segelintir masyarakat dalam negara,” katanya.

Katanya, lebih menyedihkan apabila satu demi satu institusi agama di negara ini dicabar keabsahan termasuk kuasa Mahkamah Syariah dan peruntukan enakmen di sesetengah negeri.

“Satu demi satu institusi keadilan umat Islam diruntuhkan dengan cabaran berperlembagaan di mahkamah.

“Autoriti agama dipertikai dan dipersoal bukan sahaja melibatkan jenayah-jenayah syariah, bahkan juga dalam konteks menyentuh isu-isu LGBT dan sebagai.

“Racun pemikiran terus merosak dan semakin berani mengambil langkah secara terang-terangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast