Gambar hiasan.

 

KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan untuk mengharamkan penggunaan vape dan rokok elektronik wajar disokong dan bukan ditolak atas alasan hak individu, tegas Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Gopiraj Nair.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang menolak cadangan kerajaan mengenai perkara itu, menyifatkan pendirian Dr. Michael Jeyakumar Devaraj tidak tepat dan mengabaikan ancaman serius vape terhadap kesihatan awam.

“Ia bukan sekadar isu hak individu. Vape kini menjadi satu ancaman besar kepada kesihatan masyarakat terutama generasi muda yang semakin terdedah kepada penyalahgunaan peranti ini,” kata Gopiraj dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kes-kes remaja dan kanak-kanak yang terlibat dengan penyalahgunaan vape kian membimbangkan, termasuk insiden membabitkan seorang pelajar berusia 14 tahun di Perlis yang mengalami halusinasi dan terjatuh dari bumbung sekolah selepas dipercayai menggunakan “mushroom vape”.

Katanya, Pusat Racun Negara juga dilaporkan merekodkan sebanyak 76 kes keracunan akibat cecair vape yang dicampur dengan bahan terlarang sejak tahun 2020.

Manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan beberapa kematian sejak 2019 yang berkemungkinan berpunca daripada penggunaan vape, termasuk yang mengandungi bahan sintetik.

“Lebih membimbangkan, cecair ‘mushroom vape’ mengandungi dadah sintetik berbahaya yang boleh digunakan dalam pelbagai peranti vape yang dijual secara bebas di pasaran.

“Malah, ia dinormalisasikan sebagai ‘flavour juice’ atau ‘shisha moden’ sehingga ramai remaja menggunakannya secara terbuka,” katanya lagi.

Gopiraj Nair

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan hujah PSM yang menyamakan vape dengan gula, obesiti atau alkohol sebagai tidak relevan.

“Alkohol tertakluk kepada kawalan undang-undang yang ketat, manakala obesiti dan pengambilan gula berkait rapat dengan gaya hidup. Namun, vape pula adalah pintu masuk kepada ketagihan nikotin dan dadah sintetik yang mudah dieksploitasi oleh sindiket,” katanya.

Justeru, Gopiraj menegaskan, kerajaan tidak boleh berkompromi dalam isu ini dan perlu segera melaksanakan larangan ke atas vape bagi melindungi kesihatan awam serta menyelamatkan masa depan generasi muda.

“Larangan ini bukan soal politik, tetapi satu langkah penting ke arah keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” tegas beliau.

Sebelum ini media melaporkan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Kerajaan Persekutuan bakal mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok elektronik atau vape sebagai langkah membendung penyalahgunaan produk berkenaan.

Katanya, ia akan dibuat secara berfasa, bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape sehingga meliputi keseluruhan produk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast