ALOR SETAR – Pas tidak mempunyai halangan atau kekangan untuk mengetengahkan lebih ramai calon daripada sayap Muslimat untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Malah, menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, calon-calon daripada sayap Muslimat juga diangkat sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.
Namun, katanya, apa yang menjadi halangan adalah calon sayap Muslimat itu tidak mendapat sokongan daripada pengundi untuk menjadi pemimpin atau wakil rakyat mereka.
“Ia bukan soal tidak ada calon, Muslimat setiap tahun pun calonnya ramai, tapi tidak mendapat undi, tidak cukup jumlah. Jika tidak, ramai sebenarnya wakil rakyat di Parlimen atau DUN daripada sayap Muslimat.
“Sebab itu penting untuk kita gembleng kesedaran kepada rakyat untuk memberi peluang dan mengundi lebih ramai calon daripada Muslimat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Musilmat Pas ke-65 di Kompleks Pas Kedah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Nuridah Mohd Salleh.
Mohd Amar ditanya berkenaan kesediaan Pas Pusat memberi lebih banyak ruang kepada calon sayap Muslimat untuk bertanding khususnya menjelang beberapa pilihan raya negeri (PRN) akan datang serta Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) tidak lama lagi.
Sementara itu, mengulas isu sama, Nuridah berkata, sayap Muslimat sentiasa bersedia dan berharap lebih ramai calon mereka diberi peluang pada PRU akan datang.
“Calon wanita tetap akan dihantar, namun akhirnya parti yang membuat keputusan. Insya-Allah memang kita berharap agar ada penambahan calon muslimat pada PRU akan datang,” katanya.
Sementara itu, ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Muslimat Pas, Nuridah menyeru seluruh ahli sayap itu supaya mendirikan solat hajat secara berterusan bagi memohon kepada Allah SWT supaya Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) tidak diluluskan di Parlimen.
Dalam masa sama, beiau turut menyeru sayap Muslimat bernazar puasa sekiranya RUU PSB itu berjaya ditolak di Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Malah, beliau turut mengaitkan kelulusan RUU itu dengan apa yang berlaku dalam insiden melibatkan penduduk di Kg Sungai Baru yang dihalau dari tanah mereka atas nama kemajuan. – MalaysiaGazette
















