KUALA LUMPUR – Astaka Morocco di Taman Botani Putrajaya dipilih sebagai kawasan untuk tujuan repurpose atau penggunaan semula adaptif.
Jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, ia bagi meningkatkan fungsi kawasan tersebut menggunakan konsep baukultur susulan lawatan kerjanya ke Itali baru-baru ini.
“Astaka Morocco di Taman Botani Putrajaya merupakan bukti pengembangan budaya Andalusia ke Nusantara. Setelah lebih 22 tahun, astaka ini kekal menjadi simbol diplomasi budaya dan seni bina Islam yang bernilai tinggi,” katanya.
Beliau terdahulu meninjau kawasan itu selepas menyempurnakan FT Run Putrajaya 2025 di Putrajaya pagi tadi.
Dalam masa yang sama, Dr Zaliha memaklumkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur juga dikenal pasti untuk pelaksanaan seumpama itu demi memastikan nilai-nilai warisan dikekalkan.
“Insya-Allah, pendekatan ini akan memastikan nilai seni bina dan warisan tetap terpelihara dan dalam masa yang sama, menambah baik lagi fungsi kawasan yang terlibat,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















