Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.

PASIR GUDANG – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan UMNO telah mengkhianti orang Melayu dalam isu Kampung Sungai Baru hilang tanah mereka kepada pemaju.

Menurutnya, apa yang berlaku ketika ini merupakan satu pengajaran mahal harganya dan perlu diinsafi setelah mendabik dada sebagai parti politik yang kononnya memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu.

“Bersatu, Pas dan UMNO wajar bermuhasabah diri dalam soal tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur bahawa anda semua telah mengkhianati orang Melayu.

“Iaitu dengan sengaja menggunakan kuasa anda waktu negara dalam darurat dan Parlimen digantung mengambil tanah orang-orang Melayu di Kampung Sungai Baru di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk diberikan kepada Pemaju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, perkara tersebut berlaku dalam tempoh darurat akibat Covid-19 semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Bersatu menjadi Perdana Menteri dan Menteri Wilayah Persekutuan pula daripada UMNO.

Beliau berkata, pada tempoh darurat itu Parlimen tidak dibenarkan bersidang kerana digantung, maka kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah tanpa ada semak dan imbang daripada parti-parti pembangkang pada berkenaan.

Dakwa Hassan lagi, dalam tempoh darurat itu bermulanya isu tanah di Kampung Sungai Baru.

“Isu pengambilan tanah 100 peratus milik orang Melayu di Kampung Sungai Baru bermula apabila kerajaan PN melalui kuasa Menteri Wilayah Persekutuan mewartakan dalam Warta Kerajaan Jilid 65 No.25 bertarikh 21 Jun 2021,” katanya.

Keadaan itu ujarnya, berlaku 40 hari sebelum darurat seluruh negara tamat dengan mengisytiharkannya bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Itulah buruknya jika Parlimen digantung dan darurat diisytiharkan ke seluruh negara. Ketika itu penduduk Kampung Sungai Baru hilang tanah mereka kepada pemaju. Darurat diisytiharkan pada 12 Januari 2021 dan berakhir pada 1Ogos 2021,” katanya.

Tambahnya, sepanjang dalam tempoh berkenaan kerajaan Persekutuan ditadbir gabungan parti-parti politik yang terdiri daripada Bersatu, Pas, UMNO, Gabungan Rakyat Sabah (GPS) dan Gabungan Parti Rakyat Sarawak (GPRS).- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast