KUALA LUMPUR – Liga Mahasiswa Universiti Malaya meminta semua pihak agar menolak isu perkauman yang heboh diperkatakan sekarang susulan tuntutan Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany) berkaitan pemansuhan matrikulasi, baru-baru ini.
Katanya, sudah tiba masanya semua pihak termasuk gerakan mahasiswa untuk memberikan tumpuan kepada isu akar yang jauh lebih penting iaitu mempertahankan Universiti Malaya (UM) daripada cubaan memperluas elemen swasta ke universiti tersebut.
Liga Mahasiswa menegaskan, jika universiti awam membuka ruang untuk mencari keuntungan, maka pendidikan akan menjadi suatu keistimewaan bagi golongan maha kaya.
Akhirnya, hanya golongan tersebut yang akan dapat akses lebih luas kepada pendidikan kerana mampu membayar manakala golongan miskin perlu berebut menerusi saluran UPU.
”Sebagaimana kami tidak bersetuju dengan tuntutan terburu-buru oleh Umany, begitu juga kita tidak bersetuju dengan tindakan segelintir pihak yang membawa naratif ke arah isu perkauman.
”Cara berfikir seperti ini sangat sempit seolah-olah tiada hujah lain yang bileh digunakan selain memainkan sentimen kaum.
”Pendekatan seperti ini hanya akan memecahbelahkan mahasiswa dan mengalihkan fokus daripada isu sebenar yang patut diteliti bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Umany telah pun meminta maaf berhubung tuntutan matrikulasi dimansuhkan itu dan kini adalah masa yang tepat untuk memberi fokus terhadap isu yang lebih penting.
”Liga Mahasiswa menyeru semua gerakan mahasiswa di Universiti Malaya untuk sama-sama memberikan perhatian serius terhadap isu kritikal yang berlaku di kampus kita ini,” kata kenyataan tersebut.
Semalam, selepas mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin politik, persatuan mahasiswa dan pihak institusi pengajian tinggi, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) tampil memberi penjelasan berhubung cadangannya agar program matrikulasi dimansuhkan.
Katanya, dalam kenyataan media sebelum ini, Umany menggunakan perkataan “mansuhkan” program matrikulasi yang mungkin telah menimbulkan salah faham banyak pihak.
Umany menjelaskan, maksud sebenar cadangan tersebut adalah menggabungkan program matrikulasi dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM), berasaskan sukatan pelajaran STPM yang diiktiraf secara meluas termasuk di peringkat antarabangsa.
Justeru, mereka meminta maaf di atas kekeliruan yang timbul. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN














