Salah satu pasukan menyertai RPBIC 2025 di Kuala Rompin

KUANTAN – Kuala Rompin sekali lagi menjadi tumpuan dunia dengan penganjuran Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) 2025.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pasukan juara akan menerima penghormatan untuk melayakkan diri menyertai Offshore World Championship (OWC) di Costa Rica yang merupakan sebuah pentas yang menjadi idaman komuniti pemancing global.

Memasuki edisi ke-21, RPBIC terus mengekalkan reputasi sebagai salah satu kejohanan memancing tangkap dan lepas (catch and release) yang paling dinantikan di rantau ini.

Pertarungan sengit antara pemancing profesional dan amatur dari seluruh dunia bukan sahaja menonjolkan keunikan spesies ikonik seperti ikan layaran dan marlin, malah memperkukuh imej Pahang sebagai destinasi eko-pelancongan bertaraf antarabangsa.

Kumpulan Lure Haven dari Singapura Juara Royal Pahang Billfish International Challenge 2025

Pada tahun ini, selain peserta dari dalam negara, keseluruhan 64 peserta daripada 16 kumpulan penyertaan direkodkan daripada enam buah negara iaitu Italy, Japan, China, Singapura, Australia dan United Kingdom.

RPBIC 2025 menyaksikan kumpulan peserta daripada Singapura (Lure Haven) berjaya merangkul kejuaraan dan membawa pulang ganjaran berjumlah RM20,000, manakala pasukan daripada Malaysia (Xzoga) menduduki tangga kedua dan membawa pulang RM15,000.

Menurut Exco Perpaduan, Pelancongan, dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man, penganjuran berterusan RPBIC bukan sekadar kejohanan sukan, malah simbol komitmen negeri dalam memperkenalkan produk pelancongan unik Pahang kepada dunia.

“Rompin kini bukan sahaja destinasi utama pemancing, tetapi juga pintu masuk untuk pelancong menerokai keindahan lain seperti Taman Negara, Pantai Cherating, dan Cameron Highlands,” katanya dalam kenyataan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast