GUA MUSANG – Di sebalik kehidupan serba sederhana dengan pendapatan ayah sebagai pekebun kecil sekitar RM500 sebulan, anak gadis dari Kampung Batu Papan, Gua Musang ini membuktikan bahawa kesusahan tidak pernah menjadi penghalang untuk berjaya.
Itulah kisah Nur Amalin Aishah Abdul Hadi, pelajar cemerlang yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 di peringkat matrikulasi sebelum diterima masuk ke program Sarjana Muda Perakaunan Sistem Maklumat (AIS) di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, telah menziarahi keluarga Amalin di rumah di Kampung Batu Papan, Gua Musang untuk menyampaikan surat tawaran kemasukan, bantuan kewangan untuk sara hidup, serta bakul kasih UUM sebagai tanda keprihatinan universiti.
Apabila ditanya bagaimana beliau belajar sehingga memperoleh keputusan sempurna PNGK 4.00, Amalin berkata, tiada rahsia istimewa selain usaha konsisten, rajin bertanya pensyarah setiap kali tidak faham, mengulang kaji melalui soalan-soalan tahun lepas, dan yang paling utama ialah doa ibu ayah.
“Saya belajar macam biasa, tapi kalau ada yang tak faham saya akan terus jumpa pensyarah. Saya banyak buat past year question, dan paling penting saya selalu minta doa daripada ibu ayah,” katanya penuh rendah diri.
Mengulas tentang kunjungan Naib Canselor ke rumahnya, Amalin kelihatan sebak dan sukar menyembunyikan perasaan.
“Gementar, teruja, gembira dan sangat bersyukur kerana bukan sahaja dapat sumbangan, malah Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor sendiri datang menyampaikan sumbangan kepada saya. Saya amat berterima kasih,” katanya.
Dr. Mohd Foad menyifatkan Amalin sebagai contoh terbaik anak desa yang tekun dan tabah, walaupun dibesarkan dalam kesederhanaan.
“UUM sentiasa prihatin terhadap nasib pelajar berpotensi besar seperti Amalin. Beliau membuktikan bahawa kesusahan bukan alasan untuk tidak berjaya, malah menjadi pendorong untuk bangkit. Universiti akan berdiri di belakang beliau sehingga tamat pengajian,” ujarnya.
Kisah Amalin kini menjadi bukti bahawa dengan usaha, doa dan kesungguhan, pendidikan mampu mengubah nasib keluarga. – MalaysiaGazette
















