ALOR GAJAH – Alor Gajah merekodkan kerugian besar berjumlah lebih RM8.84 juta akibat jenayah komersial sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Berdasarkan statistik Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, sebanyak 417 kertas siasatan dibuka antara 1 Januari hingga 31 Ogos lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, ia melibatkan pelbagai kes penipuan membuktikan masyarakat perlu lebih peka dengan modus operandi jenayah komersial.
“Antara kes yang paling banyak direkodkan ialah penipuan kononnya menerima bungkusan pelbagai barangan berharga atau ‘parcel scam’ dari luar negara.
“Mangsa diperdaya membuat bayaran kononnya untuk cukai atau kos penghantaran sedangkan bungkusan itu tidak wujud,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, selain itu ramai mangsa terjerat dengan sindiket penipuan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan, pinjaman tidak wujud, tawaran kerja sambilan dan pembelian atas talian.
Mengulas lanjut, Azrul berkata, penipuan pembelian dalam talian dan tawaran kerja sambilan tidak wujud kerap menyasarkan golongan muda, manakala sindiket pelaburan dan pinjaman tidak wujud pula menjerat individu dewasa yang terdesak mencari sumber kewangan segera.
“Jumlah kerugian RM8.84 juta ini bukanlah angka kecil kerana ia menggambarkan betapa besarnya kesan jenayah komersil terhadap masyarakat dan ekonomi setempat.
“Justeru, orang ramai perlu lebih berhati-hati serta tidak mudah percaya kepada sebarang tawaran di media sosial atau panggilan telefon yang mencurigakan,” tegasnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan serta melaporkan segera sekiranya menjadi mangsa.
“PDRM akan terus mempertingkatkan pemantauan, pencegahan dan siasatan, namun penglibatan masyarakat sangat penting bagi mengekang penipuan ini daripada terus berleluasa,” katanya. – MalaysiaGazette
















