KUALA LUMPUR – Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM512 juta bagi melaksanakan projek tebatan banjir Sungai Langat yang dijangka bermula tahun ini.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, peruntukan besar itu membuktikan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap nasib penduduk setempat yang sering berdepan bencana banjir.
“Perdana Menteri telah meluluskan hampir setengah bilion ringgit untuk projek tebatan banjir di Sungai Langat.
“Timbalan Perdana Menteri yang merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa projek ini kini berada di peringkat reka bentuk.
“Insya-Allah, projek ini akan dianugerahkan kepada kontraktor dan dimulakan pada tahun ini juga,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.
Menurutnya, projek tebatan banjir tersebut melibatkan jumlah peruntukan yang besar, justeru penelitian rapi perlu dibuat melibatkan kementerian, JPS dan agensi berkaitan.
“Projek ini memerlukan kajian yang mendalam, tetapi saya tetap berharap pelaksanaannya dapat dipercepatkan kerana rakyat Hulu Langat sudah terlalu lama menderita akibat banjir.
“Dalam persidangan Parlimen pada 6 Oktober nanti, saya akan sekali lagi mendesak supaya projek tebatan ini benar-benar dapat disegerakan,” ujarnya.
Pada masa sama, Mohd Sany turut menzahirkan ucapan takziah kepada penduduk Kampung Sungai Serai yang terjejas dengan banjir berulang sejak minggu lalu.
“Saya minta penduduk terus bersabar menghadapi ujian Allah SWT ini. Insya-Allah dengan adanya peruntukan yang telah diluluskan, masalah banjir di Hulu Langat dapat diselesaikan secara menyeluruh,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















