JOHOR BAHRU – Pasukan Kuching City FC (KCFC) mencetuskan semangat make a comeback hingga berjaya menang dengan bergaya ke atas Brunei DPMM FC dalam saingan Piala FA malam tadi.
Presiden KCFC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kemenangan tersebut juga membuktikan keyakinan tinggi kesebelasan pemainnya serta perancangan rapi barisan kejurulatihan.
“Keputusan ini menunjukkan semangat make a comeback yang kuat daripada pemain dan sudah tentu persediaan rapi daripada ketua jurulatih kita diterjemahkan dengan kemenangan besar ini.
“Ini merupakan sejarah buat kami,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini hari ini.
Beliau berkata, selepas ini fokus pasukan adalah mendekati setiap perlawanan dengan pendekatan satu lawan satu.
“Malam tadi kita meraikan kemenangan, tetapi hari ini kita kembali bekerja keras untuk perlawanan seterusnya. Itu konsep dan falsafah kami,” jelasnya.
Dalam aksi timbal balik pusingan 16 di Stadium Negeri, Kuching City FC berpesta gol dengan menundukkan Brunei DPMM FC 7-1 sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir menerusi agregat 9-4.
Penyokong yang hadir di stadium dikejutkan dengan ledakan mesin gol KCFC, Ronald Ngah Wanja, yang cemerlang melengkapkan hatrik.
Sementara itu, Danial Asri turut menyerlah dengan dua jaringan peribadi sementara dua lagi gol KCFC disumbangkan oleh Ramadhan Saifullah dan Joao Pedro.
Brunei DPMM FC hanya mampu meraih satu gol saguhati menerusi Ramadhan Sanata, namun tidak cukup untuk mengekang dominasi KCFC sepanjang 90 minit.
Dengan kemenangan bergaya itu, KCFC kini memasang tekad untuk meneruskan momentum cemerlang dalam aksi suku akhir.
Ini sekali gus membuktikan bahawa semangat make a comeback benar-benar menjadi kunci kebangkitan mereka musim ini.- MalaysiaGazette
Caption gambar : Presiden KCFC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru, hari ini
















