Presiden Pas Abdul Hadi Awang berucap sempena Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 SEPTEMBER 2025

ALOR SETAR – Parti Islam SeMalaysia (Pas) memberi jaminan tidak akan meminggirkan hak dan kepentingan kaum lain sekiranya diberi peluang untuk memerintah negara ini.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas komited untuk berpegang kepada keluhuran Perlembagaan Persekutuan dengan pentafsiran Islam yang sebenar (al-din).

“Percayalah bahawa hanya Islam yang sempurna, adil, dan rahmat dapat menyatukan masyarakat majmuk dengan harmoni dan selamat.

“Maka, inilah komitmen yang akan terus dipegang oleh Pas sebagai suatu janji kepada rakyat bukan Islam.

“Islam mendahulukan perdamaian dan persaudaraan, tanpa paksaan dalam beragama, walaupun Islam berkuasa sepenuhnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden Pas pada Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71, di sini, hari ini.

Presiden Pas Abdul Hadi Awang berucap sempena Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 SEPTEMBER 2025

Selain itu, kata Abdul Hadi, Islam mewajibkan pemerintah untuk bersikap adil kepada semua termasuk bukan Islam.

“Islam mengizinkan penganut agama lain melaksanakan apa-apa yang diizinkan oleh agama mereka, dengan sempadan menjaga sensitiviti umat Islam,” katanya.

“Islam menyuruh umatnya menjaga sensitiviti penganut bukan Islam, sehingga termasuk dalam perkara aqidah ketuhanan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast